Monday, July 27, 2015

Amaran Tengku Abdul Rahman

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengingatkan pemain Pahang memfokuskan perhatian memburu Piala Malaysia daripada berfikir untuk berhijrah ke pasukan lain pada musim hadapan.
Tegas baginda, ini kerana skuad Tok Gajah yang sedang berada pada prestasi terbaik dalam saingan Liga Super tidak harus terganggu dengan isu-isu remeh untuk mencari pasukan lain.
Menurut baginda, akhbar baru-baru ini melaporkan dua pemain Pahang berjumpa dengan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan diri untuk bermain dengan pasukan itu.
“Saya secara peribadi terkejut dengan laporan itu kerana daripada pemerhatiannya semua pemain skuad Tok Gajah sentiasa menunjukkan keharmonian di atas padang dan luar permainan.
“Tiada sebarang pergolakan atau perselisihan faham yang ditunjukkan oleh pemain, semua nampak okey sahaja,” kata baginda.
Tengku Abdul Rahman berkata demikian kepada pemberita selepas majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di Kampung Purun Kerdau, Kuala Krau semalam.
Pada majlis itu baginda turut merasmikan dewan Terbuka Kampung Purun atas nama ba­ginda Dewan Tengku Muda Pahang Kampung Purun.
Turut hadir Timbalan Spea­ker DUN Pahang, Datuk Mohammad Jaafar, Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Datuk Norol Azali Sulaiman serta Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Ariffin.
Baginda menambah, pengurus dan jurulatih Pahang yang diketuai Zainal Abidin Hassan sangat fokus terhadap usaha untuk mempertahankan Piala Malaysia dan memastikan Piala Liga Super menjadi milik Pahang.
“Saya tidak tahu menahu tentang hasrat dua pemain Pahang untuk ke Johor Darul Takzim (Johor DT) dan maklumat berkaitan harus dirujuk kepada akhbar berkenaan yang mendapat maklumat itu,” titah baginda.
Baginda mengulas laporan akhbar mengenai dua pemain Pahang yang menemui Tunku Ismail menyatakan hasrat untuk menyertai skuad Harimau Selatan musim depan.
Tengku Abdul Rahman bertitah, sesiapa sahaja boleh memberi pandangan dan pendapat kerana niat mereka adalah untuk memantapkan pasukan masing-masing yang natijahnya untuk memartabatkan kualiti bola sepak negara.
Baginda optimis tahap disiplin dan komitmen pemain Tok Gajah dalam memburu Piala Malaysia dan Piala Liga Super yang semakin hampir menjadi milik Pahang.
“Kejayaan meraih dan mencipta sejarah untuk merangkul seberapa banyak piala yang dipertandingkan dalam negara dan Asia memerlukan pengorbanan, kerja keras dan fokus terhadap kerjaya,” titah baginda.
Baginda juga percaya pemain Pahang yang sudah semakin sebati sebagai satu keluarga tidak mudah terpengaruh dengan tawaran yang lebih lumayan tetapi tetap bersama Pahang.
Sementara itu, Zainal Abidin ketika ditemui turut terkejut dengan laporan ura-ura dua pemain skuad Tok Gajah berminat menyertai Johor DT.
Katanya, dia tidak mahu terganggu dengan laporan itu ke­rana fokus kepada pasukan untuk menjulang kejuaraan Liga Super dan mempertahankan Piala Malaysia.
“Skuad Tok Gajah sudah me­nunjukkan keserasian tinggi dan menguasai rentak permainan bertaraf tinggi bagi menyaingi pasukan hebat seperti Johor DT,” titah baginda