1.0 PENDAHULUAN
Peranan dua orang tokoh Islam iaitu Tariq Ibn Ziyad dan Musa Ibn Nusair sangat penting kerana peranan kedua-dua tokoh tersebutlah yang bertanggunjawab dalam membawa kepada pembukaan peradaban Islam di Eropah terutamanya Afrika Utara dan semenanjung Iberia dengan jayanya walaupun sebelum itu telah terdapat individu-individu tertentu yang melakukan aktiviti perluasan wilayah Islam.
Hal ini kerana Bani Umaiyyah di Andalus adalah rentetan peristiwa dari Bani Umaiyyah di Damsyik apabila kerajaan Islam di bawah khalifah al-Walid ibn Abdul Malik , khalifah Bani Umaiyyah yang kelima berjaya menakluki bumi Andalus melalui gabenornya iaitu Musa Ibn Nusair dan panglima tenteranya iaitu Tariq Ibn Ziyad. Walaupun kekhalifahan Islam yang tersendiri dan berpusat di Andalus hanya bermula pada 138 H/756 M iaitu setelah Abdul Rahman Ad-Dakhil memerintah Andalus.
Untuk memberikan pemahaman yang lebih jelas adalah memudahkan jika kita membahagikan kepada tiga skop iaitu melihat kepada peranan yang dimainkan oleh Tariq Ibn Ziyad dalam melakukan ekspedisi ketenteraan, peranan Musa Ibn Nusair dan akhir sekali ialah melalui kerjasama kedua-dua orang tokoh tersebut dalam meneruskan penaklukan ke wilayah-wilayah di Eropah. Kaum muslim telah berada atau hadir di Eropah sejak awal kedatangan Islam. Sejarah kehadiran Islam secara kukuh di benua ini dikatakan bermula di Sepanyol pada abad ke-7.
Kemudiannya barulah berlaku beberapa gelombang pasang-surut islamisasi Eropah dan yang terakhir serta terbesar adalah imigrasi kaum muslim bekerja di negeri bekas penjajah mereka. Oleh itu, memang tidak boleh dinafikan bahawa penerokaan dan penaklukan yang dilakukan oleh orang Islam di luar kepulauan Arab sehingga ke Eropah adalah bertitik-tolak kepada peranan yang dimainkan oleh dua orang tokoh Islam yang disegani iaitu Tariq Ibn Ziyad dan Musa Ibn Nusair yang membawa kepada pembukaan dan perkembangan Islam itu sendiri.
Penaklukan dan penerokaan yang bertitik-tolak dari Maghribi yang merupakan sebuah negeri di utara Afrika mempunyai peranan besar dalam sejarah Islam, terutama dalam menyebarkan Islam di wilayah Afrika Utara dan sebagai pintu gerbang masuknya Islam ke Andalus. Afrika Utara menjadi wilayah penghubung untuk penaklukan Andalus. Segala persiapan ekspedisi penaklukan Islam ke daratan Eropah dilakukan melalui negeri ini.
2.0 PERISTIWA-PERISTIWA MASUKNYA PENGARUH MUSLIM DI ANDALUS.
Terdapat beberapa peristiwa yang membawa kepada kemasukan peranan kaum Muslim terutama Muslim di bawah pimpinan Tariq Ibn Ziyad dan Musa Ibn Nusair yang seterusnya membawa kepada pertapakan Islam di Eropah terutamanya di Andalusia. Peristiwa perebutan kekuasaan oleh Raja Roderick yang merebut singgahsana kerajaan Visigoth. Hal ini menyebabkan putera-putera raja lama, Witiza, mengadakan pemberontakan kepada Raja Roderick. Sebahagian daripada mereka terpaksa melarikan diri ke Afrika Utara dan mengadakan persetujuan dan pakatan dengan kaum muslimin untuk melawan dengan Roderick. Peristiwa ini juga menyebabkan Count Julian, pemerintah Queta (Sabtah) menaruh perasaan dendam kepada Roderick kerana beliau bersahabat baik dengan Witiza. Tambahan pula selepas itu Roderick telah mencabul kehormatan anak gadisnya, Florinda yang dihantar ke istana di Toledo untuk mempelajari adat-istiadat bangsawan di Andalus yang menyemarakkan lagi dendam Julian.
Oleh sebab itu, Julian bersumpah untuk memerangi Roderick sampai musnah dan menggulingkan pemerintahan haram raja Roderick. Pada masa yang sama di Afrika Utara, di Selatan Andalus telah dikuasai oleh orang Islam di bawah pemerintahan gabenor Bani Umayyah yang berpusat di Damsyik. Khalifah pada masa itu ialah Al-Walid Ibn Abdul Malik dari keturunan Marwan Ibn Al-Hakam. Khalifah Al-Walid ( 86-96 H/705-715) banyak membuat ekspedisi penaklukan termasuk Sind melalui gabenor Muhammad Ibn Al-Qasim dan Afrika Utara oleh Musa Ibn Nusair.
Bermulanya peristiwa penaklukan orang Islam di Andalus apabila Julian menulis surat kepada Musa Ibn Nusair, gabenor Afrika Utara yang berada di Qayarawan supaya menakluki Andalus dan menjatuhkan Roderick dari takhtanya. Perkara ini memang banyak disepakati oleh ahli sejarah yang mencatat bahawa Julian sendiri meminta Tariq Ibn Ziyad panglima tentera Musa Ibn Nusair menakluki Andalus. Julian menyatakan kekagumannya terhadap pemerintahan Islam dan ingin berbaik-baik dengan orang Islam. Musa Ibn Nusair meminta keizinan khalifah Al-Walid di Damsyik untuk menakluki Andalus.
No comments:
Post a Comment