Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, sekiranya gagal mempamerkan notis caj perkhidmatan tersebut, pemilik hotel serta restoran boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000.
Beliau berkata, penguatkuasaan itu tertakluk kepada Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Caj Perkhidmatan Bagi Hotel dan Restoran) 2015 yang ditandatangani Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek semalam.


“Pemilik, pengurus atau pengendali sesebuah hotel atau restoran yang mengenakan caj perkhidmatan hendaklah mempamerkan caj perkhidmatan de­ngan menggunakan huruf besar dan dalam bahasa Melayu sebelum diikuti terjemahan lain-lain bahasa.
“Kementerian juga meletakkan syarat bahawa huruf yang digunakan perlu berketinggian tidak kurang daripada lima sentimeter serta ditulis tangan atau dicetak,” katanya dalam sidang akhbar berhubung pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) di sini hari ini.

Menurut Alias, selain di pintu masuk premis, pemilik hotel dan restoran juga boleh mempamerkan notis di mana-mana tempat yang mudah dilihat oleh pengguna.
Selain itu, katanya, melalui perintah tersebut kementerian turut menggariskan hanya dua ungkapan yang boleh digunakan oleh pemilik hotel dan restoran iaitu:

 SEMUA HARGA ATAU CAJ TERTAKLUK KEPADA___% CAJ PERKHIDMATAN atau

 SEMUA HARGA ATAU CAJ TERTAKLUK___% CAJ PERKHIDMATAN.


“Pemilik hotel atau restoran hendaklah memasukkan kadar peratusan caj perkhidmatan yang dikenakan dalam ungkapan yang digunakan.

“Selepas 1 Mei sekiranya pe­langgan dikenakan caj perkhidmatan tanpa ada notis pembe­ritahuan mereka boleh membuat laporan kepada kementerian,” katanya.

Sementara itu, katanya, sehingga semalam melalui operasi Ops Catut Fasa II, kementerian telah menjalankan sebanyak 152,129 pemeriksaan serta pe­nguatkuasaan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 423 kes telah diambil tindakan.

“Mulai esok kementerian akan melaksanakan strategi baharu dalam melaksanakan Ops Catut Fasa II iaitu dengan memberi penumpuan di kawasan luar bandar kerana ketika ini banyak laporan daripada pengguna kawasan tersebut mengenai kenaikan harga barang,” katanya.