Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, rakyat mahu melihat keberkesanan penguatkuasaan undang-undang terhadap peniaga yang sengaja mengambil kesempatan dengan pelaksanaan GST sehingga membebankan hidup pengguna.
“Apa yang perlu peniaga lakukan adalah tolak dahulu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) baharu campur dengan GST, ini peniaga yang beretika buat. Peniaga yang tidak beretika, mereka tidak tolak tetapi campur dengan GST, jadi barang akan naik harga.
“Kita harap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan bertindak dengan membawa segera peniaga terlibat ke muka pengadilan,” katanya kepada pemberita selepas melawat bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pontian di sini hari ini.
Ahmad berkata, antara kesalahan serius memerlukan tindakan undang-undang segera ialah peniaga yang mengenakan GST pada barangan dikecualikan, selain memungut cukai berkenaan walaupun tidak berdaftar.
“Saya minta penasihat undang-undang kementerian berkaitan agar segera menyiapkan kes-kes berkaitan GST. Kita tahu kes akan dibawa kepada penasihat undang-undang kementerian dahulu untuk dilihat satu persatu, saya juga menggesa JKDM menyegerakan tindakan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, sesi ceramah berhubung GST dijalankan secara berterusan bagi memberi penjelasan kepada masyarakat.
Dalam pada itu, beliau percaya penduduk di Rompin akan membuat pilihan tepat dengan mengundi BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada 5 Mei ini kerana calon parti, Datuk Hasan Arifin mampu melaksanakan tugas dengan baik dalam meneruskan pembangunan di situ.