Thursday, April 30, 2015

TIDAK BIAR RAKYAT SUSAH - Muhyiddin

HARIAN METRO
Rompin: Kebajikan rakyat termasuk usaha menangani peningkatan kos sara hidup menjadi perkara pokok dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, BN sebagai parti yang memerintah sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat di negara ini dalam pelbagai aspek kehidupan.
Beliau berkata, perkara itu juga keutamaan yang dibincangkan antara pemimpin parti setiap hari.
“(Sebagai Timbalan Perdana Menteri) saya tahu apa yang bermain di benak kepala saudara-saudara.
“BN peka dengan masalah rakyat dan kami (BN) tidak berdiam diri membiarkan rakyat negara ini susah seperti (penduduk) di negara lain.
“Ia supaya rakyat tidak hidup susah seperti yang berlaku di negara lain.. teruk (dengan) pergaduhan, peperangan, pertumpahan darah dan ada yang hadapi malapetaka seperti (gempa bumi) di Nepal,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Rompin di sini, semalam.
Menurutnya, tiada parti selain BN yang boleh memastikan pembangunan di daerah ini.
Katanya, ia dilihat menerusi kemajuan dinikmati penduduk Rompin pada masa kini dalam tempoh 20 tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan jentera parti tidak terlalu leka dengan menganggap pengundi tetap menyokong BN pada PRK itu.
Menurutnya, jika sebahagian besar ahli dan penyokong parti mempunyai pandangan sedemikian, ia memberi kesan kepada peratusan pengundi keluar mengundi sekali gus kepada majoriti undi diraih BN.
“Penting untuk kita tunjukkan Rompin kubu kuat BN... makna kubu kuat adalah sokongan padu, jika PRU-13 (Pilihan Raya Umum ke-13) Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dapat majoriti 15,000.
“Saya harap (pada PRK ini)... BN dapat tak kurang 15,000 undi majoriti,” katanya.
PRK Parlimen Rompin diadakan susulan kematian Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih.

No comments:

Post a Comment