Thursday, April 30, 2015

GST - RESTORAN PREMIS PERTAMA DIDAKWA

Sebuah restoran menjadi premis pertama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini terhadap lima pertuduhan berkaitan kesalahan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Restoran Hameeds Corner yang diwakili‎ pemiliknya, Raja Bunesh Bagam Kamarudeen sebagai orang berdaftar mengaku tidak bersalah mengeluarkan 2,000 invois cukai yang tidak mengandungi butir ditetapkan di bawah Seksyen 22, Peraturan-Peraturan GST.

Raja Bunesh selaku orang kena saman (OKS) didakwa melakukan kesalahan itu di premis berkenaan di Seksyen 16 Shah Alam pada 7 hingga 11 April lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 33(2)(b) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta 762) yang memperuntukkan hukuman denda sehinga RM30,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Tohan mencadangkan jaminan RM100,000 namun dibantah peguam, Cullin Andrew dengan alasan kes saman tidak memerlukan jaminan.

"Sekiranya OKS tidak hadir, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap.

"Anak guam saya juga telah mengemukakan bon RM15,000 kepada Jabatan Kastam," katanya.

Hakim, Ahmad Azhari Abdul Hamid membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei ini sebagai sebutan.

No comments:

Post a Comment