Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, sehubung­an itu, surat arahan berhubung perkara berkenaan telah dihantar kepada semua syarikat telekomunikasi semalam bagi memastikan syarikat-syarikat itu patuh dengan arahan tersebut.
Beliau berkata, melalui arahan terbaharu itu, setiap harga kad prabayar telah termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kaedah tersebut sama seperti penguatkuasaan cukai perkhidmatan di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 1975 tanpa sebarang caj tambahan.
“Oleh itu sekiranya harga kad prabayar itu RM10 akan kekal RM10 (termasuk GST). Sebenarnya sebelum pelaksanaan GST penjualan kad prabayar telah pun mempunyai elemen cukai iaitu cukai perkhidmatan.
“Justeru, sistem yang sama akan digunakan oleh syarikat telekomunikasi dalam melaksanakan GST. Jangan pula nanti apabila harga satu kad prabayar RM10, ejen-ejen pula yang mengenakan GST. Jika berlaku kita akan kenakan tindakan terhadap mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Isu itu mula tercetus apabila syarikat-syarikat telekomunikasi memutuskan untuk mengenakan caj enam peratus GST pada kad tambah nilai prabayar berkuat kuasa serta-merta tetapi pada masa sama, pelanggan ditawarkan tambahan kredit masa berbual dan ­khidmat pesanan ringkas (SMS) pada kadar melebihi cukai enam peratus, awal bulan ini.
Bagaimanapun, isu kad tambah nilai prabayar yang dikenakan GST itu menjadi hangat apabila pengguna enggan membayar caj tambahan yang dikenakan.
Rentetan daripada itu Pengarah Bahagian GST JKDM, Datuk T. Subromaniam telah membayangkan bahawa pengguna perkhidmatan telekomunikasi prabayar mungkin akan menikmati semula kadar asal yang dibayar sebelum ini bagi membeli kad tambah nilai walaupun dikenakan GST.
Khazali berkata, hakikatnya para pengguna negara ini khususnya golongan muda mahukan harga asal kad prabayar dikekalkan iaitu harga sebelum pelaksanaan GST pada 1 April lalu.
“Ini semua yang difikirkan dalam usaha kita memberi kemudahan terutamanya kepada golongan muda yang memang sentiasa menggunakan telefon. Kita prihatin tentang masalah mereka lebih-­lebih lagi golongan pelajar.
“Bagi mereka jika harganya RM10, mereka mahu bayar RM10 dan bukannya RM10.60. Mereka mahu seperti mana harga sebelum 1 April. Oleh itu pihak syarikat telekomunikasi perlu akur dengan kehendak ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau meminta pengguna melaporkan kepada pihak kastam sekiranya arahan tersebut gagal dipatuhi oleh syarikat telekomunikasi.
“Arahan kastam jelas mulai 1 Mei syarikat telekomunikasi mesti mula mengenakan atau melaksanakan GST seperti mana mereka laksanakan semasa rejim cukai perkhidmatan yang lalu. Tiada alasan sama ada stok baharu atau stok lama,” katanya.
Berhubung masa berbual, jumlah SMS serta kadar Internet dalam satu kad prabayar beliau berkata, perkara itu diserahkan kepada syarikat telekomunikasi.
Dalam perkembangan lain ketika mengulas kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini bahawa harga bagi satu kad prabayar RM10 akan dijual dengan RM10.60 disebabkan GST dan bukan seperti diumumkan oleh JKDM, Subromaniam me­negaskan, segala urusan berkaitan cukai itu tertakluk di bawah bidang kuasa kastam.
“Kastam merupakan pentadbir cukai di negara ini,” tegasnya ketika dihubungi.