Katanya, natijah daripada kehadiran golongan `jemuan’ (dalam loghat negeri Kedah yang bermaksud berperangai sangat jahat) itu mampu memporakperandakan ahli dalam parti.
Tegas beliau, tanpa 'jemuan-jemuan’ dalam parti bukan sesuatu yang mustahil untuk UMNO terus memenangi pilihan raya akan datang.

"Jemuan ini lebih teruk daripada tukang kipas atau batu ronson (batu api penghasut) kerana mereka akan mengadu domba sesama ahli UMNO sehingga menyebabkan perselisihan faham dan menggugat perpaduan dalam parti.

''Kikis ini (jemuan). Cuba cari 'jemuan’ ini... kita ketepikan. Kalau tidak ada 'jemuan’ dalam parti tidak payah roket sains UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menang. Itu mesej utama saya,'' kata beliau ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Kedah di TH Hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan setiausaha, Datuk Othman Aziz.

Konvensyen UMNO Kedah yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini itu dihadiri lebih 1,200 pemimpin UMNO Kedah dari 15 bahagian parti di seluruh negeri termasuk ketua pusat daerah mengundi (PDM).

Najib menambah, UMNO harus mengenepikan ahli-ahlinya yang berperangai buruk demi kelangsungan parti terutama untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.