Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, negara ini mungkin tidak dapat mencapai Wawasan 2020 yang diilhamkannya jika diukur pencapaian ekonomi Malaysia pada masa ini.

Menurutnya, ini kerana untuk mencapai Wawasan 2020, negara bukan sahaja diukur melalui pendapatan per kapita rakyat tetapi melibatkan kemajuan dalam pelbagai sektor.

“Kalau kita ada nisbah lima orang kaya dengan 1,000 orang miskin boleh dikira sudah baik.

“Jadi untuk capai sasaran ini kita perlu majukan pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, industri serta pengetahuan. Macam-macam pengetahuan kita perlu ada untuk kita capai (status) negara maju," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan bertajuk Dilema Rakyat Malaysia di satu forum sini, semalam.

Beliau berkata, pada masa ini, ramai yang salah faham bahawa hanya ukuran pendapatan rakyat yang perlu dilihat untuk menentukan sama ada Malaysia sudah mencapai negara maju.

"Kita lihat (ukuran status negara maju) dibuat hanya bersandarkan kepada pendapatan per kapita dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sahaja.

“Ukuran kepada negara maju bukan semata-mata berkaitan dengan anggaran keseluruhan pendapatan (kerana) itu hanya mengambil kira purata sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam ucapannya sebelum itu turut menggesa golongan sederhana supaya lantang menentang golongan ekstremis di negara ini.

“Saya pernah katakan golongan sederhana lebih ramai daripada ekstremis tapi golongan tersebut (sederhana) tidak mengendahkan apa yang dikatakan kumpulan ekstremis hingga membuatkan ekstremis menguasai masyarakat.

“Oleh itu adalah penting bagi golongan sederhana untuk memastikan suara mereka didengar. Mereka perlu melakukannya (bersuara) untuk diri sendiri,” katanya.

Menurutnya, beliau juga pernah dilabel sebagai ekstremis sepanjang pemerintahannya kerana beliau lantang mengkritik golongan pelampau.

“Saya dikatakan seorang ekstremis apabila cuba melawan ekstremis lain tetapi saya ada sokongan semua pihak, Melayu, Cina dan India selama menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

“Ada orang mengecam saya, ada juga yang simpati. Orang Melayu pada waktu itu tidak menyokong BN kerana mereka kata saya diktator,” katanya.