Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Ahli Dewan Rakyat akan hilang kelayakan atau kerusi yang dimenangi jika dihukum penjara melebihi setahun atau denda melebihi RM2,000.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan jelas menunjukkan Anwar bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya yang memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun.
“Keputusan itu secara tidak langsung menyaksikan beliau akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, Abdul Aziz menjelaskan bahawa pilihan raya hanya akan diadakan selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat mengesahkan kekosongan kerusi dimenangi Ketua Pembangkang itu.
Katanya, selepas disahkan, SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas untuk memutuskan tarikh penamaan calon.
“Tarikh penamaan calon perlu dimaklumkan kepada umum dalam tempoh 10 hari selepas kekosongan kerusi di sesebuah kawasan Parlimen itu disahkan.
“Kemudian, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pengesahan pengosongan kerusi,” ujarnya.

SUMBER