Monday, January 5, 2015

MALAYAN UNION 7 - Sultan Kedah



Brigedier Sir Alex Newboult yang hadir dalam pertemuan itu dengan sinis berkata, mungkin baginda berfikir untuk kembali kepada pemerintahan Siam sebagai pilihan lain.

Kebiadaban ini disusuli oleh kenyataan MacMichael bahawa jika keraguan baginda berasas maka sudah tentulah dibangkitkan oleh Sultan Johor.

Sultan Kedah membalas bahawa baginda tidak tertakluk mencontohi Johor. Baginda menegaskan bahawa akan berunding dengan ahli-ahli majlis negeri.

Disebalik kesantunan Melayu yang dipamerkan oleh Sultan Kedah, MacMichael tetap terkesan dengan ketegasan baginda.

Tunku Badlishah merasakan walaupun British agak lebih bersopan santun namun taktik membuli mereka sama dengan Jepun.
MacMichael terpaksa menunggu empat hari untuk Tunku Badlishah berunding dengan majlis negeri. Tawaran Kolonel Day dan Brigedier Newboult untuk memperjelaskan isu berkenaan tidak dilayan.

Akhirnya, tidak ada lagi alasan untuk berlengah-lengah. Pada 3 Disember, MacMichael bersiap sedia menemui baginda sekali lagi untuk mendapatkan tandatangan. Namun Tunku Badlishah memberitahu, upacara itu harus dibuat kesesokan hari.

Apabila MacMichael berkeras atas alasan beliau ada urusan lain, baginda bersetuju menandatanganinya itu pun hanya selepas baginda makan tengahari.

Pada jam 4 petang, sebelum acara tandatangan, ahli-ahli majlis negeri mungkin cuba melengah-lengahkan upacara tersebut dengan membangkitkan persoalan dalam mesyuarat kenapa Penasihat British tidak turut hadir.

MacMichael terpaksa bersusah payah menjelaskan bahawa Kolonel Day- yang kemudiannya dilantik sebagai Penasihat British di Kedah- mempunyai kuasa dan fungsi setaraf dengan Penasihat British. Kenyataan ini secara tidak langsung mendedahkan kuasa sebenar British ke atas Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Minit mesyuarat majlis negeri yang memberi kuasa perjanjian itu ditandatangani, tidak pun disiapkan. Sejurus sebelum majlis tandatangan bermula, seorang ahli majlis negeri dengan bijaksana mengingatkan bahawa sultan adalah Yang Dipertua Majlis. Ini bermakna Tunku Badlishah tidak boleh menandatangani minit mesyuarat majlis negeri sehingga baginda dilantik sebagai Sultan dan menjadi Yang Dipertua Majlis.

Ini bermakna Tunku Badlishah tidak boleh menandatangani minit mesyuarat majlis negeri sehingga baginda dilantik sebagai sultan dan menjadi Yang Dipertua Majlis yang sah.

MacMichael terpaksa membuat perisytiharan bahawa Kerajaan British mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kedah setelah mendapat jaminan semua ahli majlis bahawa perjanjian itu akan dimenterai juga.

Pegawai Pertanian Negeri, Tunku Yaacob, yang juga adinda sultan, menyatakan dengan tegas bahawa beliau memberi persetujuan hanya kerana tiada pilihan. Bourdillon kemudian membentangkan perjanjian itu untuk ditandatangani.

Ketika inilah sultan berdiri dan menyatakan hasratnya untuk bertitah sepatah dua. Dengan tegas baginda, INILAH SAAT PALING MENCEMASKAN DAN MENYAKITKAN JIWA DALAM HIDUPNYA.

MacMichael tidak membiarkan kenyataan itu tidak berjawab. Lalu menbangkitkan dan meluahkan kekesalannya terhadap pesimise sultan sambil menekankan yang perjanjian itu baik bagi Kedah dan Tanah Melayu keseluruhannya.

MacMichael membayangkan beliau terpaksa melaporkan perisytiharan sultan kepada Setiausaha Negara. Akhirnya perjanjian itu termeterai pada jam 5:10 petang.

Ketika sultan berunding dengan MacMichael, penduduk Alor Setar dilanda keresahan. Antara anak-anak Muda Kedah yang membuat poster anti-Malayan Union adalah Tun Mahathir dan rakan-rakannya.

Mereka menampal pada sebatang pokok bertentangan kediaman Kolonel Day, tempat MacMichael menginap.

Tun Mahathir dan rakan-rakan seperjuangannya sudah mendengar berita mengenai Sultan Johor begitu rela menandatangani perjanjian itu dengan diikuti oleh empat orang sultan yang lain.

Bagi mereka perjanjian itu amat buruk kerana ia berupa penyerahan negeri-negeri Melayu kepada British. Ramai antara mereka berasa telah dikhianati oleh raja-raja mereka sendiri.

Bersambung......

No comments:

Post a Comment