Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T. Subromaniam berkata, syarikat-syarikat tersebut adalah entiti yang ‘lari’ daripada pembayaran cukai sedangkan mereka mengaut keuntungan beratus ribu ringgit setiap tahun.

“Situasi ini disebut sebagai hidden economy di mana kelemahan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan yang sepatutnya diperoleh.

“Melalui pelaksanaan GST, kita dapat mengesan dan memastikan mereka memberikan sumbangan kepada negara melalui sistem percukaian seperti syarikat-syarikat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Ketiga GST di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Dewan Perundangan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Steward J. Forbes.

Dalam pada itu, Subromaniam menyifatkan beliau amat berpuas hati dengan pelaksanaan GST setakat ini.

“Kita mempunyai tiga penanda aras bagi mengukur keberkesanan sistem percukaian baharu iaitu dari segi pendaftaran, penghantaran balik penyata cukai dan proses tuntutan bayaran balik.
“Saya sangat berpuas hati kerana kita mempunyai antara sistem tercanggih, proses tuntutan pembayaran balik yang sangat cepat dan penguatkuasaan yang baik,” katanya.