Friday, August 2, 2013

BOON HUAT SEBELUM KEMALANGAN

Majlis penyampaian insentif kecemerlangan kepada pemain kelmarin menjadi pertemuan terakhir mendiang Chua Boon Huat dengan rakan sepasukan sebelum pemain hoki kebangsaan itu maut dalam kemalangan jalan raya awal pagi semalam.

Lebih menyedihkan, ketika pemain tersebut ditemui di lokasi kemalangan di Kilometer 10.4, Lebuh Raya Damansara-Puchong dekat Stesen LRT Kelana Jaya, awal pagi semalam, dia masih memakai kemeja putih dan seluar hitam yang dipakainya pada majlis tersebut.


Pada majlis di Hotel Park Royal di ibu negara kelmarin, dia menerima insentif RM7,500 atas kecemerlangannya ketika mewakili negara pada kejohanan Liga Hoki Dunia di Johor Bahru bulan lepas dan Trofi Juara Asia hujung tahun lalu. Sepanjang bersama rakan sepasukan, dia mesra dan ceria.

Malah Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang hadir pada majlis tersebut juga sempat bergurau dengan pemain itu dengan berkata: "Chua (Boon Huat) nampak makin berisi masa puasa ini."

Gurauan tersebut hanya dibalas dengan senyuman oleh Boon Huat dan gelak ketawa rakan sepasukannya.

Sewaktu ditemuramah oleh wartawan dari Bernama TV untuk ucapan Hari Raya Aidilfitri, dia sempat bergurau sebelum membuat ucapannya.
"Ini kali pertama saya beri ucapan Hari Raya," katanya.

Ucapan tersebut menjadi ayat terakhir Boon Huat kepada wartawan pada majlis tersebut.