Sunday, December 28, 2014

MALAYAN UNION 5- Sultan Johor tandatangan


British amat menyedari peningkatan politik orang Melayu dan penentangan mereka terhadap gagasan Malayan Union. Namun British dengan angkuhnya tidak berhasrat berganjak kerana mereka percaya jika semua sultan bersetuju, rancangan mereka menyatukan semua negeri Melayu dan memerintahnya terus di bawah Malayan Union akan berjaya.
MacMichael tiba di Tanah Melayu pada Oktober 1945. Beliau pergi berjumpa Sultan Johor dahulu atas nasihat Willan.
Di istana Pasir Pelangi, MacMichael menerangkan yang Kerajaan British hanya mengambil berat kebajikan Tanah Melayu dan tugasnya sendiri terhad kepada mendapatkan kerjasama raja-raja.
Perjanjian yang bakal ditandatangani oleh sultan akan memberikan British kuasa penuh dalam melaksanakan dasar-dasarnya secara berkesan dan teratur.
Sultan mendesak untuk seorang pegawai British mengetuai setiap jabatan bagi menjamin supaya diurus dengan betul. Baginda berkata bahawa baginda sudah hilang kepercayaan kepada orang Melayu - kenyataan ini dirakam dengan teliti di dalam fail yang tersimpan di arkib British.
Sultan juga menyuarakan kebimbangannya megenai hal-hal seperti setem pos dan lencana polis selepas Malayan Union ditubuhkan. Ini mungkin kerana baginda bimbang kalau-kalau lambang negeri Johor tidak diguna pakai lagi dalam setem dan lencana berkenaan. Baginda mahu sedikit waktu bagi mengkaji semua dokumen dan menyediakan memorandum.
Oleh itu,mereka bersetuju untuk bertemu lagi dua hari kemudian iaitu pada 20 September, Penolong Setiausaha Pejabat Jajahan British, H.T Bourdillon mengemukakan semua dokumen yang diperlukan untuk ditandatangani.
MacMichael dan sultan pun menurunkan tandatangan masing-masing tanpa acara rasmi dan perbincangan.
MacMichael yang pernah bertugas di Palestin, menyambut kejayaan itu dengan mengucapkan Alhamdulillah dalam bahasa Arab. Begitu juga Sultan Johor, yang kemudian menyerahkan memorandum baginda (mengandungi pandangannya mengenai hubungan Johor-British).
Baginda berkata, MacMichael boleh menilai kandungannya dan jika didapati tidak sesuai boleh mencampakkannya ke dalam bakul sampah.
MacMichael menyatakan harapan untuk berjumpa dengan baginda di England. Beliau juga memberitahu bahawa Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam, Jeneral R.Hone sudah mengutus telegraf membuat permohonan segera untuk perjalanan baginda ke England.
MacMichael tersenyum puas dan gembira dengan kejayaannya, MacMichael tahu selepas ini beliau tidak akan menghadapi banyak masalah dengan raja-raja yang lain. Seperti jangkaan, mereka menandatangani perjanjian tanpa bantahan, KECUALI SULTAN KEDAH, TUNKU BADLISHAH.
Bersambung...............