Wednesday, May 14, 2014

Krisis Keewangan Dunia 1997~1998 , saya bertindak sebagai seorang doktor - Tun Mahathir Mohamad



Sewaktu krisis keewangan 1997~1998 yang menyaksikan nilai ringgit jatuh mendadak, kita diberitahu bahawa ia berpunca daripada kesilapan kita menguruskan ekonomi. Saya enggan mempercayainya kerana beberapa bulan sebelum itu , Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa atau  International Monetory Fund (IMF) , Michel Camdessus memuji pentadbiran Malaysia. Saya perlu menyiasat untuk mengetahui dengan TEPAT kenapa krisis itu terjadi - bagi mengenal pasti sebab-sebabnya atau aetiology dalam istilah perubatan. Dalam politik juga , jika kita dapat menghapuskan punca maka kita akan dapat menyelesaikan masalah. Dan seperti juga dengan perubatan , formula biasa tidak selalunya berkesan. Kadang-kadang masalahnya sama, tetapi apabila berlaku di tempat berlainan mungkin ia di sebabkan oleh punca yang berbeza. IMF nampaknya percaya semua masalah keewangan boleh diatasi dengan hanya mengurangkan PERBELANJAAN , memastikan lebihan BELANJAWAN, meningkat KADAR FAEDAH dan membiarkan perniagaan yang tidak cekap MUFLIS. IMF hanya mementingkan PERANGKAAN dan tidak mempedulikan hakikat bahawa membangkrapkan sesebuah syarikat akan mencetuskan banyak kesan sosial yang buruk. Sungguh pun saya tidak mempunyai bukti jelas, tetapi nampaknya ada agenda tersembunyi bagi menyekat negara membangun yang berpotensi untuk mencapai taraf negara maju. 

Hanya selepas itu barulah saya sedar betapa besarnya perbezaan antara prinsip undang-undang dengan perubatan. Peguam dilatih untuk mengkaji semua kes dari perspektif tugasan , iaitu sama ada bagi pihak anak guaman atau melawan musuh mereka. Doktor pula mesti menilai masalah pesakit dari semua sudut bagi mengenal pasti penyakit yang dideritainya. Apabila peguam membela tertuduh , adalah menjadi tugasnya untuk mencari dan mengemukakan bukti bagi membebaskan anak guamnya walaupun dia tahu orang itu memang bersalah. Jika perlu , dia juga akan mencari kepincangan dalam undang-undang untuk dipergunakan. Bagaimanapun dalam merawat pesakit , doktor perlu mengetepikan segala bentuk tanggapan dan menumpukan kepada mengenal pasti dengan tepat penyakit serta puncanya. Bagi seorang peguam , amalan profesion mereka memerlukan mereka memihak . Doktor pula mesti bersikap objektif dan mencari kebenaran. Ahli politik juga mesti melakukan hal serupa jika mahu mengenal pasti masalah yang menjejaskan sesuatu dasar , rancangan pembangunan dan strategi pilihanraya sebelum menyelesaikannya secara berkesan.

Amalan perubatan juga membantu saya memahami manusia dengan lebih baik , menghargai punca masalah mereka dan mengetahui langkah yang perlu diambil untuk memenuhi keperluan mereka. ahli ikhtisas lain mungkin berdepan dengan beratus malah beribu orang dalam ruang lingkup tugas mereka. Bezanya orang yang datang berjumpa doktor adalah dalam keadaan tidak berdaya. Jadi, apabila kita dikunjungi oleh pesakit dari semua peringkat masyarakat dan dapat mengetahui akan ketidakupayaan mereka yang begitu peribadi, saya percaya kita akan lebih memahami sifat manusia .

Tun Mahathir Mohamad .
Perdana Menteri Malaysia 1981~ 2003

sumber asal