Sunday, March 30, 2014

TURUN KAU....!!!

PULAU PINANG 29 Mac -

 Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh hari ini meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP ekoran dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
Keputusan itu dibuat berdasarkan Seksyen 9 A (1) (b) Akta Pertubuhan 1966 yang menyatakan seseorang didapati bersalah dan didenda tidak kurang RM2,000 atau dipenjara minimum setahun, tidak boleh memegang jawatan di dalam sesebuah pertubuhan berdaftar.
Karpal berkata, jawatan itu kini dipangku Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai sehingga proses rayuan berkaitan hukuman yang diterimanya itu diputuskan di Mahkamah Rayuan.
Menurutnya, perkara tersebut telah dibincangkan di peringkat tertinggi parti dan mereka bersetuju untuk menerima keputusan peletakan jawatan itu yang berkuat kuasa serta-merta.
Beliau juga meletakkan jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.
"Sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan berkaitan hukuman dikenakan, saya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP dan akan dipangku oleh Kok Wai.
"Namun begitu, jawatan saya sebagai Ahli Parlimen Bukit Gelugor tetap kekal sehingga proses rayuan di mahkamah selesai," katanya dalam sidang akhbar di Air Itam di sini hari ini.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, beliau juga akan hilang kelayakan sebagai ahli Dewan Rakyat dan kerusi Parlimen jika rayuannya gagal.
Pada 11 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Paduka Azman Abdullah menjatuhkan hukuman denda terhadap Karpal atas kesalahan mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar lima tahun lalu.
Karpal, 73, didakwa menyebut kata-kata hasutan membabitkan Sultan Perak pada satu sidang akhbar antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009 di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, No. 67, Jalan Pudu Lama, Dang Wangi di ibu negara.
Sementara itu, Lim Guan Eng yang jawatannya sebagai Setiausaha Agung DAP belum disahkan berkata, pihaknya menerima keputusan Karpal itu dengan berat hati.
"Kok Wai hanya akan memangku jawatan Pengerusi sehingga proses rayuan Karpal selesai. Begitu juga jawatannya dalam CEC akan dikembalikan sekiranya rayuan beliau berjaya.
"Perkara ini bukan kali pertama berlaku dalam DAP kerana saya sendiri pernah mengalaminya sewaktu dihukum penjara beberapa tahun dahulu," ujarnya.