Tuesday, November 5, 2013

Perlembagaan Lord Reid menurut Islam

SALAH satu sebab Pas mengkafirkan UMNO adalah kerana kerajaan yang diterajui mengamalkan perlembagaan sekular. Tetapi kini Pas mengiktiraf perlembagaan Malaysia yang dianggap sekular itu. Sepatutnya dengan pengiktirafan terhadap perlembagaan negara itu bererti Pas mengiktiraf juga bahawa Malaysia bukan negara sekular.


Tetapi hakikatnya tidak begitu kerana Pas tetap menganggap Malaysia sebagai negara sekular seperti dijelaskan oleh para pemimpin parti selepas mengiktirafkan perlembagaan negara.


Keikhlasan Pas mengiktiraf perlembagaan negara pun diragui. Kerana banyak pihak melihat tindakan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat pengiktirafan terhadap perlembagaan negara itu tidak lebih daripada tipu helah untuk memancing undi orang bukan Islam semata-mata.


Pada mulanya pengiktirafan Abdul Hadi terhadap perlembagaan negara adalah bersifat mutlak, tetapi bila dikritik oleh banyak pihak dan beliau bimbang dimarahi penyokong sendiri, pengiktirafan itu berubah menjadi nisbi kerana akan diadakan pindaan.


Jadi pengiktirafan Pas itu tidak ada erti dan pandangan pelbagai pihak yang mengatakan ia merupakan tipu helah politik adalah boleh diterima.
Apakah sebenarnya kedudukan perlembagaan negara dari segi hukum agama Islam?


Dalam al-Quran dan hadis, tidak pernah diperuntukkan apa-apa nas berkaitan dengan perlembagaan. Ini bukan agama Islam itu tidak sempurna, tetapi kerana soalan perlembagaan adalah soalan pengurusan dunia yang Allah dan Rasul-Nya menyerah kepada kebijaksanaan manusia untuk melakukannya. Al-Quran dan hadis tidak pernah memperincikan perkara itu, tetapi ia memberi garisan umum saja mengenainya.


Selain itu pada zaman Rasulullah s.a.w. pun belum ada perlembagaan kerana negara baginda yang sangat sederhana tidak perlu kepada perlembagaan. Malah perlembagaan juga belum wujud kerana ia merupakan perkara yang baru muncul bersama tamadun Barat. Cuma para ulama menganggap Piagam Madinah yang disebut dalam beberapa hadis sebagai perlembagaan negara baginda kerana melihat kedudukan sebuah negara yang perlu kepada perlembagaan mengikut kaca mata moden. Dengan itu mereka memanggil atau menamakan Piagam Madinah sebagai perlembagaan negara Islam secara ijtihad.


Ini juga sama dengan semua kementerian, sistem Parlimen, sistem pilihan raya dan lain-lain yang terdapat dalam negara sekarang. Semua itu tidak ada pada zaman Rasulullah. Abdul Hadi dan semua pemimpin Pas boleh menganggap semuanya sekular. Malah jawatan beliau pegang sebagai Menteri Besar dan lain-lain jawatan dalam kerajaan negeri serta jawatan wakil rakyat adalah tidak ada pada zaman Rasulullah. Semua itu adalah sekular belaka jika dipandang mengikut kaca mata Amanat Haji Hadi.


Dalam pada itu penggubalan perlembagaan negara itu bukan saja dilakukan oleh penjajah Inggeris belaka walaupun suruhanjaya untuk merangka perlembagaan dipengerusikan oleh Lord Reid.


Ini kerana penggubalan perlembagaan itu salah satu daripada hasil rombongan kemerdekaan yang dihantar ke London untuk berunding dengan penjajah Inggeris. Hasil rundingan itu ialah penubuhan sebuah suruhanjaya bagi merangka perlembagaan yang bersesuaian dengan keperluan Tanah Melayu yang merdeka.


Suruhanjaya dipengerusikan oleh Lord Reid (Britain) dan Sir Ivor Jennings (Britain). Manakala ahli-ahli suruhanjaya berkenaan terdiri daripada Sir William McKell (Australia), Hakim B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan).


Jadi ada dua pakar undang-undang yang merupakan Muslim turut bertanggungjawab dalam penggubalan perlembagaan itu.
Tujuan utama penubuhan suruhanjaya tersebut ialah merangka seterusnya menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu berdasarkan prinsip demokrasi berparlimen.


Selain itu segala pandangan daripada pelbagai pihak termasuk golongan raja Melayu dan rakyat diambil kira.


Dengan itu sewaktu persidangan pertama yang diadakan pada Jun 1956, pihak suruhanjaya meminta pertubuhan-pertubuhan termasuk persatuan dan orang perseorangan menghantar memorandum bertulis berkenaan dengan perkara-perkara yang berkaitan seperti pembentukan sebuah kerajaan demokrasi berparlimen, menjamin kedudukan raja-raja, memilih seorang ketua negara daripada kalangan raja-raja Melayu, mempertahankan kedudukan istimewa orang-orang Melayu tanpa menjejaskan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain, membentuk rupa bangsa bagi seluruh negara iaitu kerakyatan yang sama.


Hasil daripada ruangan yang terbuka untuk masyarakat itu, suruhanjaya tersebut menerima maklum balas yang memberangsangkan. Suruhanjaya menerima sebanyak 131 memorandum termasuk daripada Parti Perikatan, institusi raja-raja Melayu dan individu-individu tertentu.


Memo yang dihantar oleh Parti Perikatan menjadi komponen utama kepada rangka perlembagaan yang diusahakan oleh Suruhanjaya Reid. Memo yang dihantar pada 27 Julai 1955 dianggap sebagai inti pati penting dan gambaran Pakatan Murni antara kaum. Memo Perikatan tersebut dianggap sebagai Pakatan Murni kerana konsep dalam pakatan tersebut berlandaskan soal tolak ansur di kalangan parti UMNO, MCA dan MIC yang mewakili suara kaum masing-masing.


Antara perkara penting yang terkandung dalam toleransi kaum yang terkandung dalam pakatan murni ini adalah pengekalan empat unsur tradisi yang menunjukkan kepentingan orang-orang Melayu manakala masyarakat bukan Melayu mendapat keistimewaan `jus soli' berdasarkan perolehan kerakyatan mengikut tempat kelahiran sebagaimana dipersetujui oleh pucuk pimpinan UMNO pada masa itu.


Berdasarkan isi kandungan dan toleransi kaum yang ditunjukkan dalam memo tersebut, Pakatan Murni ini juga kadangkala dikenali sebagai `Quid Pro Quo,' `Empat Campur Satu' dan `Kompromi Merdeka.'


Rangka Perlembagaan Persekutuan yang sudah siap dan dipersetujui oleh kebanyakan pihak kemudiannya dibawa kepada Majlis Raja-Raja Melayu bagi mendapatkan perkenan. Selepas isi perlembagaan yang dicadangkan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu, perlembagaan ini mendapat perkenan sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada Mei 1957.
Perlembagaan ini diisytiharkan secara rasmi pada bulan Ogos 1957 sebelum kemerdekaan diisytiharkan. Biarpun begitu tidak dapat dinafikan perlembagaan persekutuan yang dipersetujui kebanyakan pihak ini bukanlah sesuatu yang lengkap tetapi dalam konteks Tanah Melayu dan kemerdekaan ia memadai dengan keperluan semua pihak sehingga hari ini.


Apakah yang boleh dilakukan oleh Pas jika mereka terlibat dengan rundingan kemerdekaan dengan penjajahan Inggeris? Mungkinkah Pas akan mampu mendapat perlembagaan yang lebih baik daripada perlembagaan yang disetujui oleh Majlis Raja-Raja, UMNO/Perikatan, persatuan-persatuan Melayu dan individu-individu tertentu?


Pas tidak mungkin memberi jawapan kerana para pemimpinnya ketika itu tidak menyokong kemerdekaan Tanah Melayu. Itulah sejarah lama Pas yang sebenarnya.


Perlu diterangkan bahawa perlembagaan Lord Reid telah dipinda berpuluh-puluh kali sehingga kini tidak ada ciri-ciri lama. Bacalah perlembagaan untuk mengetahui lebih lanjut.


Selain itu jika kita menghalusi sejarah kemerdekaan kita akan dapat melihat kepada usaha mahu menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah negara yang dinamakan Malaysia bukan perkara mudah. Selain berhadapan dengan masalah dalaman, kita berhadapan dengan masalah luaran, iaitu ancaman dengan Indonesia yang mahu menggabungkan negara ini dengannya.


Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 sebagai sebuah negara merdeka dan kemudian menjadi negara berdaulat secara rasmi dengan nama Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 membolehkan rumpun Melayu yang dulu hidup berpuak-puak dan bersuku-suku di merata daerah dan negeri bergabung dalam sebuah negara. Ia dianggap satu rahmat yang amat besar.


Perlu juga diketahui bahawa sebelum merdeka pada tahun 1957, orang Melayu mempunyai kerakyatan mengikut negeri masing-masing. Hanya selepas merdeka, baru mereka mempunyai kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian bertukar menjadi kerakyatan Malaysia yang dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia kini.


Ketika belum mencapai status itu orang Melayu yang pernah menderita dijajah bermacam-macam bangsa asing selama 446 tahun bermula dari Siam sehingga ke Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.


Pada zaman penjajahan itu dan sebelum orang Melayu sangat kuat berpegang dengan semangat kedaerahan dan kenegerian, mereka kerap berperang sesama sendiri atau meletus perang saudara di kalangan mereka. Tetapi apabila mereka digabungkan dalam sebuah negara, semangat baru dipupuk dan disemai iaitu semangat kemalaysiaan.


Manakala semangat kedaerahan dan kenegerian walaupun masih utuh dalam diri setiap orang Melayu, tetapi semangat kemalaysiaan mengatasinya.
Kesimpulannya proses penubuhan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat terpaksa melalui banyak tahap dan memakan masa yang sangat lama.


Pembentukan Negeri-Negeri Selat oleh Inggeris pada tahun 1824 yang menggabungkan tiga negeri Semenanjung Tanah Melayu, iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura dianggap titik permulaan menuju ke arah penubuhan Malaysia.


Diikuti pula dengan pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1895 selepas Inggeris telah menandatangani perjanjian dengan raja-raja Melayu di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang untuk menggabungkan keempat-empat negeri itu dalam sebuah persekutuan. Akhir sekali pembentukan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu pada tahun 1909 selepas Inggeris menandatangani satu perjanjian dengan Siam. Mengikut perjanjian itu, Siam mesti menyerahkan hak dan kuasanya ke atas empat negeri Melayu kepada Inggeris, iaitu Perlis, Kelantan, Kedah dan Terengganu dan sebagai balasan Inggeris menarik balik hak dan kuasanya di Siam. Gabungan ketiga-tiga jenis negeri Melayu inilah membawa kepada penubuhan Malaysia yang ada selepas menggabungkan Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment