Wednesday, September 11, 2013

PERLU UNDANG-UNDANG LEBIH KETAT

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini mencadangkan agar undang-undang baru menggantikan Ordinan Darurat (EO) yang dimansuhkan pada 2009 memberikan lebih kuasa kepada polis untuk membendung jenayah dengan lebih berkesan.

Menurutnya, undang-undang pencegahan sedia ada tidak cukup ‘taring’ termasuklah Akta Pencegahan Jenayah (PCA)  1959 kerana bidang kuasa yang terhad untuk menahan penjenayah.

“Undang-undang sedia ada hanya untuk menahan mereka, undang-undang tersebut tidak kuat.

“Oleh sebab itu,saya nyatakan adalah penting untuk pihak polis diberikan undang-undang yang lebih holistik, untuk menangani masalah ini," katanya ketika sesi wacana anjuran Sinar Harian ke-23 yang mengupas tajuk, Polis Hilang Sengat: Apa Selepas E0.

Wacana Sinar Harian ini membariskan panel yang terdiri daripada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; bekas Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Tan Sri Zaman Khan dan tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin serta  dikendalikan oleh penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar.

Sementera itu, dalam masa yang sama, beliau menegaskan rakyat Malaysia harus mengubah persepi mereka yang mengatakan undang-undang yang diwujudkan oleh kerajaan bersifat zalim dan menindas.

“Undang-undang tersebut diwujudkan adalah sebagai langkah pencegahan, bagi mengawal negara supaya berada dalam keadaan aman dan stabil, bukannya undang-undang zalim.

“Persepsi ini perlu diperbetulkan supaya masyarakat faham tujuan undang-undang itu diwujudkan,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment