Seorang bekas banduan yang kini bekerja sebagai kelindan lori maut ditembak ketika berehat di ruang tamu rumah keluarga angkatnya di Jalan CP 3/24, Batu 9, Cheras Perdana dekat sini hari ini.
B. Balamurali, 36, yang dikatakan sering terlibat dalam aktiviti samseng dan pergaduhan sedang tidur sebelum seorang lelaki tiba-tiba memasuki rumah itu dan melepaskan sekurang-kurangnya tiga das tembakan kira-kira pukul 1.30 petang.
Sebelum kejadian mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia empat tahun baru pulang dari bersembahyang di sebuah kuil yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah itu.
Salah seorang sepupu mangsa, B. Nathiya, 25, memberitahu, hanya ibu angkat mangsa yang berada di dalam rumah tetapi dia berada di dalam bilik kerana tidur selepas penat beribadat.
"Kejadian ini begitu mengejutkan kerana kami baru sahaja bertemu dengan Balamurali kira-kira setengah jam lalu, sebelum diberitahu dia telah mati ditembak dalam rumah.
"Ketika itu ibu saudara saya iaitu ibu angkat Balamurali sedang tidur dalam bilik dan dia hanya tersedar selepas terdengar bunyi tembakan.
"Selepas itu dia melihat mangsa berlumuran darah di ruang tamu tetapi tidak melihat suspek," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Mengulas lanjut, Nathiya menjelaskan, Balamurali tidak pernah memberitahu dia bermusuh dengan sesiapa tetapi mereka sekeluarga mengetahui mangsa sering kali terlibat dalam pergaduhan dan menyertai kumpulan samseng di situ.
"Setiap kali bergaduh, polis akan datang menangkapnya dan dipenjarakan. Sebenarnya dia baru sahaja keluar penjara Jun lalu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab memberitahu, mangsa berkemungkinan ditembak mati akibat dendam.
"Mangsa telah ditembak sebanyak tiga das di bahagian dada dan dipercayai dilakukan dua orang suspek warga tempatan yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC.
"Polis tidak menolak kemungkinan punca kejadian itu adalah akibat dendam serta pergaduhan tetapi siasatan lanjut masih lagi dijalankan," katanya.
Dalam perkembangan sama, mangsa yang baru dilepaskan dari Penjara Kajang sekitar Jun lalu mempunyai rekod jenayah bersangkut Seksyen 380 Kanun Keseksaan selain mempunyai lima rekod kesalahan dadah.
Isteri dan anak mangsa dikatakan menetap di Seremban, Negeri Sembilan.
Kes ini disiasat mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
No comments:
Post a Comment