Tuesday, June 18, 2013

ISA DI HIDUPKAN SEMULA ?

Kerajaan bertegas tidak akan mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana tindakan tersebut tidak munasabah dan terlalu kuno dengan situasi keselamatan negara pada masa kini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, langkah yang harus dilaksanakan adalah menguatkuasakan undang-undang sedia ada dengan sepenuhnya bagi menangani keselamatan dan keamanan negara.
Katanya, sistem perundangan negara mempunyai lebih daripada 900 undang-undang yang boleh diguna pakai bagi menggantikan atau dijadikan sandaran kepada ISA.


"Kita tidak sepatutnya berundur dan menoleh ke belakang dalam menangani kegiatan subversif di negara ini kerana bagi saya ISA tidak memberi peluang kepada pesalah atau suspek untuk membela diri mereka.


"Kita tidak akan menggantikan akta yang lebih kurang sama seperti ISA ekoran kerajaan membenarkan mana-mana pihak untuk menyuarakan pendapat masing- masing atas prinsip demokrasi tetapi ada had dan batas-batasnya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Beliau sebelum itu mengadakan lawatan kerja di Mahkamah Tinggi Kuching yang turut dihadiri Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, sistem perundangan negara yang diamalkan di Malaysia bersifat adil kepada semua golongan tanpa mengira kaum mahupun kepercayaan.

Katanya, punca utama sistem perundangan negara dilihat kurang berkesan adalah kerana sikap masyarakat negara ini yang mudah bertolak ansur dan tinggi nilai kemanusiaannya.

"Sistem perundangan negara kita berkesan tetapi menjadi tradisi dan budaya masyarakat Malaysia yang lembut dan susah untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku sebarang masalah.

"Sehubungan itu tidak guna untuk kita menambah atau menggubal undang-undang baharu sebaliknya penguatkuasaan sistem sedia ada harus dilaksanakan sepenuhnya melibatkan semua pihak termasuk rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment