Tuesday, June 18, 2013

PRESIDEN DAN TIMBALAN TAK USAHLAH DIPERTANDINGKAN

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan sokongan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang bagi mengelakkan perpecahan dalam parti.


Beliau berkata, walaupun jawatan Presiden dan Timbalan Presiden wajar dipertandingkan di bawah demokrasi tetapi orang ramai tidak begitu memahami fungsi amalan itu.


"Kalau kalah, mereka akan tarik diri dan tubuh parti lain serta memecahkan UMNO. Jika pertandingan diadakan, UMNO akan pecah dua.
"Malaysia sudah ada tiga parti Melayu, akan jadi empat (kalau UMNO pecah) dan lama-kelamaan akan pecah langsung. Sebab itulah saya tak sokong pertandingan. Jawatan lain dalam parti bolehlah dipertandingkan tetapi di puncak tak payahlah bertanding," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku The Prisoners' Diaries yang disunting oleh Puan Sri Norma Hashim di sini hari ini.
Dr. Mahathir mengulas cadangan beberapa pihak termasuk UMNO negeri yang mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO hujung tahun ini.


Cadangan itu mendapat sokongan beberapa pemimpin tertinggi UMNO seperti Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, pengalaman yang dilalui beliau sendiri menunjukkan pertandingan jawatan tertinggi akan membawa keburukan kepada UMNO.


"Saya biasa bertanding dulu. Saya menang tak banyaklah iaitu 43 undi sahaja tetapi pihak yang kalah bawa saya ke mahkamah dan seterusnya tubuh parti lain.


"Kita tak faham tentang demokrasi, sepatutnya pihak yang kalah itu rapat balik barisan dan tunggu pemilihan seterusnya. Di Malaysia, pihak yang kalah akan tubuh parti lain," katanya.

No comments:

Post a Comment