SHAH ALAM – Umno menyifatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa memperkatakan ketirisan berlaku dalam PRU13 lalu hanya tindakan memalukan diri sendiri.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, apa juga dakwaan Anwar dilihat tidak memberikan sebarang impak negatif terhadap pemimpin kerajaan BN.
Menurutnya, pemimpin luar negara sedia tahu perkara sebenar dan tidak mudah termakan tohmahan parti pembangkang.
“Saya tidak hairan tindakan sedemikian. Itulah sikap sebenar mereka (PR) yang tidak boleh menerima hakikat kekalahan mereka.
“Saya percaya, pemimpin luar negara juga sudah mengetahui agenda tersebut. Jika ada yang tidak puas hati, selesai cara profesional di mahkamah,” katanya.
Katanya, negara juga tidak terjejas dengan apa yang dilakukan Anwar kerana selama ini, kerajaan sudah melakukan tugas sebaik mungkin termasuk menjaga hubungan baik dengan pemimpin dari negara lain.
“Jelas, rakyat masih percaya pada BN. Ini menunjukkan PR yang suka membawa perkara ini hingga ke luar negara.
“Mungkin, mereka mahu menggambarkan Perdana Menteri Malaysia gagal dalam pentadbiran negara. Walau apa juga cara yang dilakukan, dia hanya berjaya memalukan dirinya sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tindakan Anwar tidak mencerminkan seorang pemimpin berjiwa besar.
“Beliau dilihat ‘kemaruk’ kuasa yang mana tidak kesampaian. Mengapa nak burukkan proses pilihan raya hingga ke luar negara tanpa asas bukti yang kukuh.
“Adalah lebih baik jika didapati wujud kelemahan tertentu, failkan petisyen pilihan raya dan selesaikan di mahkamah,” katanya.
Katanya, Anwar hanya memalukan diri dengan membawa cerita negara ke pengetahuan pemimpin luar.
Kelmarin, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berada di Bali dan mengakui bertemu Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Menurut sebuah portal Vivanews, Anwar bukan sahaja bincang perkara berkaitan Malaysia dan Indonesia, tetapi kepincangan semasa PRU13.
No comments:
Post a Comment