Sunday, June 23, 2013
PERLU KUAT UNTUK ELAK DIJAJAH SEMULA
Tetapi kita tidak boleh berpuas hati dengan kemajuan
biasa. Di zaman ini kita perlu kekuatan untuk mengelak
daripada dijajah cara baru. Kekuatan yang dimaksudkan
bukanlah kekuatan ketenteraan, walaupun sedikit-sebanyak itu
juga perlu. Kekuatan yang kita perlu ialah kekuatan yang
datang daripada kestabilan politik, kesihatan ekonomi,
keadilan sosial, kecekapan pentadbiran dan penguasaan ilmu dan
teknologi yang canggih yang tidak kurang daripada yang
dimiliki oleh negara-negara maju yang lain.
Soalnya apakah mampu kita mengejar kekuatan yang
menyeluruh ini? Harus kita ingat bahawa mereka yang mengejar
mestilah lebih pantas daripada mereka yang dikejar. Jika
tidak tentulah kita tidak akan mendapat sasaran kita. Sasaran
kita bergerak dan tidak akan menunggu kita. Mampukah kita,
orang Melayu dan Bumiputera, bergerak dengan begitu pantas
sehingga dapat mengejar objektif kita?
Memikir tentang besarnya cabaran yang kita hadapi boleh
mengecewakan kita awal-awal lagi. Mereka yang kecewa
kerapkali menolak keperluan mengejar sasaran dan menipu diri
dengan dakwaan bahawa tidak benar sasaran itu lebih baik
daripada keadaan mereka. Ini adalah psikologi `anggur masam`
kerana mereka tidak dapat memetiknya.
Orang seperti ini cuba menidakkan keburukan keadaan
mereka dengan berkata kekayaan, kekuatan, kecekapan dan ilmu
yang ada pada orang lain itu tidak membawa apa-apa kebaikan.
Mereka yang dikatakan maju sebenarnya tidak maju kerana
kemajuan tidak boleh diukur dengan kejayaan kebendaan.
Kejayaan kata mereka mempunyai makna lain. Sebenarnya mereka
yang dikatakan mundur lebih berjaya walaupun ternampak tidak
berjaya. Dan bermacam-macam lagi cara penipuan diri yang
dicipta untuk menutup kekecewaan mereka.
Ada pula yang kecewa kerana kegagalan, lalu mengganas
secara buta-tuli. Kanak-kanak apabila marah dan kecewa
merosakkan apa yang ada pada mereka sebagai cara melepaskan
geram mereka. Orang yang gagal dan tidak nampak bagaimana
mereka dapat mengatasi kegagalan mereka juga melepaskan geram
dengan cara yang sama. Mereka mengganas, membunuh, meletupkan
bom dan menjatuhkan pesawat dengan penumpang yang tidak
berdosa. Mereka melepaskan geram ke atas yang lemah,
kerapkali ke atas kaum bangsa sendiri dan negara sendiri.
Dengan cara-cara yang negatif ini mereka hanya akan terus
mundur, dihina dan ditindas. Tetapi mereka tidak tahu cara
lain selain daripada cara yang negatif ini. Mereka tidak akan
tukar taktik, tidak akan cuba mengejar kemajuan, tidak akan
beralih kepada cara yang lebih rasional kerana awal-awal lagi
mereka percaya mereka tidak berkebolehan, tidak akan berjaya
atau tidak sanggup bersabar dengan masa yang panjang yang
diperlukan untuk mengejar kejayaan. Mereka tidak percaya
kepada diri sendiri. Dengan itu mereka akan teruskan cara
negatif mereka dan kekal dengan kemunduran buat selama-
lamanya. Inilah yang kita lihat di beberapa negara,
terutamanya di negara-negara Islam yang menghadapi masalah
keganasan oleh puak ekstrimis agama.
Apakah kita juga termasuk dalam golongan ini, kita juga
sudah kecewa, kita juga percaya bahawa kita tidak mungkin
berjaya, kita juga menipu diri dan melepas geram? Ada antara
kita yang berfikiran seperti ini, sama ada secara sedar atau
tidak sedar. Dengan itu mereka mahu supaya kita jangan cuba
untuk menjayakan diri kita. Mereka hendak kita dengan sombong
mendakwa kita sudah pun lebih baik, lebih berjaya dan lebih
besar daripada orang lain walau apapun bukti yang menidakkan
dakwaan ini. Dalam hati kecil mereka, mereka tahu dakwaan
mereka adalah tidak benar. Mereka tahu mereka bukan `tuan`
tetapi sebenarnya `hamba`. Tetapi oleh kerana mereka tidak
yakin mereka boleh jadi `tuan`, mereka tipu diri dengan
membuat dakwaan berkali-kali bahawa mereka adalah `tuan`.
Alhamdulillah, sekarang kian ramai yang percaya kita
boleh. Dan memang pun kita boleh. Kita belum boleh dalam
segala-gala yang kita cuba, tetapi insya-Allah, kita akan
boleh. Kita akan boleh dengan percubaan yang berulangkali;
kita akan boleh dengan kesanggupan bertekun, berusaha
mempelajari, mencuba dan mencuba lagi sehinggalah kita boleh.
Apakah yang kurang pada kita? Daripada segi fizikal,
daripada segi mental dan daripada segi semangat, kita tidak
berbeza daripada bangsa-bangsa yang maju. Yang berbeza ialah
budaya kita, sistem nilai hidup kita dan tamadun yang telah
kita bina. Apakah kita akan hilang jatidiri atau identiti
kita, identiti bangsa kita jika kita baiki nilai hidup kita
sehingga dapat membentuk budaya dan tamadun yang baru untuk
kita; budaya dan tamadun yang lebih sesuai untuk kemajuan,
yang boleh menebus dan menegak maruah bangsa kita?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment