Sunday, June 23, 2013

MALAYSIA .. DIMANA TU ?


Sewaktu saya memulakan tugas sebagai Perdana Menteri , tidak ramai orang asing yang pernah dengar tentang Malaysia atau tahu dimana letaknya Malaysia. Apabila seorang rakyat Malaysia diluar negara memberitahu dari mana ia datang, soalan berikutnya adalah "di mana tu?" Untuk sekian lama, orang asing mennyangka Malaysia terletak di China, Himalaya malah Afrika. Mereka juga keliru sana ada Malaysia itu Malawi atau Madagaskar. Semua orang tahu Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura. Malah Vietnam lebih dikenali, sebahgian besarnya kerana berlaku perang disitu. Bagaimanapun Malaysia, negara Asia Tenggara seperti yang lain juga, tidak begitu dikenali dan ini menyebabkan sukar untuk menarik pelancong dan pelabur.

Tidak memeranjat kalau orang asing kurang tahu mengenai negara kita sebab tidak banyak berita mengenai Malaysia pada tahun-tahun awal penubuhannya. Tidak ada apa yang menakjubkan berlaku dalam perjuangan kita mencapai kemerdekaan yang kita peroleh menerusi rundingan dan bukan peperangan. Tidak ada pertumpahan darah dan persengketaan berpanjangan - berita kegemaran wartawan dan pengarang mereka untuk dilaporkan - seperti yang berlaku di Indonesia dan Vietnam dirantau kita atau Algeria dan Cyprus yang lebih dekat dengan Eropah. Pada mulanya, negara kita dipanggil Persekutuan Tanah Melayu, mengantikan apa yang dikenali ramai sebagai British Malaya. Tidak sukar untuk mengantikan kedua-dua nama itu. Kemudian diubah menjadi Malaysia, nama baru yang digunakan selepas Sabah , Sarawak  dan Singapura menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 1963. Perpisahan Singapura dari Malaysia pada 1965 untuk seketika menarik perhatian media antarabangsa, begitu juga Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia diantara tahun 1963 dan 1965. Bagaimanapun pada keseluruhannya, kita kekal sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang berprofil rendah, yang tidak pernah dikenali oleh kebanyakan orang asing.

No comments:

Post a Comment