Monday, June 3, 2013

PAS TOLAK POLITIK GANAS DAP DAN PKR


KUALA LUMPUR 2 Jun - Pas menolak penggunaan kaedah politik ganas bagi menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Naib Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, Pas tidak berminat untuk mencetuskan keadaan huru-hara dan yakin pihak berkuasa melakukan yang terbaik bagi menjaga ketenteraman negara.
Menurut beliau, sebarang bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 hendaklah dilakukan secara demokratik.

"Ada dua cara iaitu berhimpun secara aman atau failkan petisyen. Jangan sampai gulingkan kerajaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mahfodz mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz semalam yang meminta semua pihak menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat memerintah negara.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa memberitahu, ahli-ahli Pas telah dididik untuk menerima keputusan pilihan raya secara baik sebagai tanda reda dengan ketentuan Allah.

Menurut beliau, sebahagian besar ahli Pas tidak menyertai siri demonstrasi jalanan anjuran pakatan pembangkang baru-baru ini kerana mereka menghormati ketetapan yang diputuskan pucuk pimpinan parti.

"Kalah atau menang itu ketentuan Allah. Mengapa bila kalah kita protes sedangkan bila menang kita terima? Sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya, kita ada mahkamah yang akan menentukan keputusan petisyen," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Norazli meminta ahli-ahli Pas menggunakan saluran yang betul sekiranya tidak bersetuju dengan ketetapan pucuk pimpinan parti menolak kaedah kekerasan untuk menggulingkan kerajaan.
"Kita tidak sepatutnya kritik melalui Facebook dan sebagainya. Suarakan pandangan kita pada muktamar Pas nanti," ujarnya.

Menurut beliau, Pas juga seharusnya bekerja keras memenangi hati rakyat mulai sekarang sebagai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.


No comments:

Post a Comment