Pemimpin DAP gelisah lebih banyak penyelewengan parti akan didedah
KUALA LUMPUR 2 Jun - Tindakan Karpal Singh yang mencabar Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya berhenti mendedahkan hasil siasatan, seolah-olah membuka pekung di dada sendiri kerana lebih banyak 'ulat-ulat' akan muncul.
Bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, kenyataan Pengerusi DAP itu hanya akan menampakkan kegelisahan parti tersebut pada saat-saat akhir sebagai 'persediaan segera' jika siasatan tersebut tidak akan menyebelahi pihaknya.
"Kalau Karpal cabar henti dedah siasatan, lagi elok, kerana makin banyak ulat-ulat akan muncul, lagi dikorek, lagi banyak kesalahan mereka akan timbul.
"Kenapa baru sekarang Karpal muncul beri kenyataan sedangkan masalah pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) itu sudah lama dan hanya sebahagian daripada masalah ketidaktelusan parti yang begitu banyak. Kita percaya mereka akan 'tembak' pihak lain jika siasatan itu tidak berpihak kepada mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas amaran Karpal semalam kepada ROS supaya berhenti mendedahkan maklumat hasil siasatan yang dijalankan terhadap parti itu sehingga urusan berkaitan selesai.
Khamis lalu, Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman memberitahu, hasil siasatan yang dijalankan mendapati ramai ahli DAP yang layak menghadiri Kongres Kebangsaan Ke-16 parti itu Disember lalu tidak menerima notis panggilan daripada parti.
Sebelum ini, pelbagai persoalan ditimbulkan termasuk oleh ahli DAP sendiri yang mendakwa pemilihan CEC parti berkenaan tidak sah dan meragukan sehingga mendesak ROS menjalankan siasatan.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Das Aseerpatham berkata, cabaran Karpal itu memberi petanda bahawa pemimpin-pemimpin tertinggi parti tersebut sudah mula takut kerana khuatir banyak lagi penyelewengan parti akan terdedah.
Menurut beliau, sudah sampai masanya 'kemungkaran' yang sudah berlaku dalam parti hampir 30 tahun lalu ditangani supaya memberi pengajaran kepada pihak atasan untuk mengamalkan prinsip ketelusan dan keadilan dalam parti selari dengan perjuangan asal.
Katanya, pemilihan CEC adalah hak ahli untuk melantik orang yang benar-benar layak bagi mengurus tadbir parti, bukan memberi kebenaran kepada mereka melabelkan parti itu sebagai hak peribadi.
"Pemimpin tertinggi parti sibuk mendesak agar pilihan raya diadakan secara adil dan bersih sedangkan dalam parti sendiri mereka tidak amalkan.
"Apabila terkena batang hidung sendiri mereka tidak hiraukan desakan dan suara ahli akar umbi malah menggunakan cara yang kotor seolah-olah parti ini bapa dia punya," katanya.
No comments:
Post a Comment