Sunday, June 16, 2013

GRADUAN PERLU MEMPERBAIKI DIRI

KUALA LUMPUR 15 Jun - Graduan di negara ini harus mula mengubah minda daripada hanya menjadi pencari kerja kepada penjana pekerjaan dengan merebut peluang dalam bidang keusahawanan.


Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Malaysia amat memerlukan lebih ramai usahawan daripada kalangan graduan untuk menjadi pemangkin transformasi ekonomi negara.


"Kita mahu graduan menjadi usahawan dan tidak hanya bergantung kepada mencari pekerjaan dengan syarikat-syarikat swasta kerana kita tahu golongan ini mempunyai daya saing yang kental dan mampu menjadi lebih kreatif," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2013 anjuran Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Idris berkata, walaupun tahap kebolehpasaran graduan di negara ini amat baik, namun hanya 30 peratus daripada golongan ini menerima gaji melebihi RM2,500.


"Oleh kerana itu, bidang keusahawanan harus menjadi pilihan utama para graduan. Disebabkan itu, kementerian akan terus memberikan penekanan terhadap perkara ini," katanya.


Dalam perkembangan lain, Idris ketika diminta mengulas desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap kerajaan agar melaksana satu sistem persekolahan berkata, kementerian kini lebih memfokuskan untuk meningkatkan kualiti sistem sekolah kebangsaan agar menjadi pilihan semua rakyat Malaysia.


"Kita fokus untuk memastikan sekolah dan universiti menjadi yang terbaik, apabila itu tercapai, maka Malaysia akan menjadi sebuah negara yang bersatupadu," katanya.


Beliau berkata, antara usaha utama dalam mencapai matlamat meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara adalah dengan membaiki tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan guru yang kini masih dianggap berada di tahap kurang memuaskan.

No comments:

Post a Comment