Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Umno bukan parti rasis kerana ia sentiasa memberi keadilan kepada rakyat tanpa mengira kaum di negara ini.
Najib yang juga Presiden Umno berkata sejak ditubuhkan 67 tahun lepas, Umno menganggap bukan Melayu sebagai rakan kongsi dan akan tetap mempertahankan dasar yang sederhana, adil dan saksama kepada semua bangsa.
"Inilah formula terbaik Umno (keadilan kepada semua), bukan formula keterlaluan untuk memancing undi tetapi pada akhirnya memusnahkan negara Malaysia yang tercinta.
"Kita tidak akan benarkan politik sedemikian...opportunistic politics (politik oportunis)...kita tak akan benarkan kerana akhirnya akan menghancurkan segala-galanya yang telah dibina Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun Umno ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini.
Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, naib-naib presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Pergerakan Pemuda Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pergerakan Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Turut hadir bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta presiden parti-parti komponen BN.
Najib berkata jika bukan kerana isu perkauman yang dimainkan pakatan pembangkang, beliau percaya BN mampu memperoleh majoriti yang lebih besar pada
Pilihan Raya Umum ke-13 yang berakhir Ahad lepas.
Pada PRU13, BN memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen dengan Umno kekal sebagai tonggak gabungan itu apabila menyumbangkan 88 kerusi.
Perdana menteri berkata pencapaian Umno pada pilihan raya umum kali ini adalah lebih baik berbanding 2008 meskipun diasak dan diserang pelbagai tohmahan serta fitnah daripada pembangkang.
"Tapi, pada akhirnya rakyat Malaysia telah membuat keputusan bahawa mereka ingin kepada kestabilan, kesinambungan dan ingin melihat agenda pembangunan dan transformasi yang dibawa BN diteruskan," katanya.
Pada pilihan raya umum 2008, Umno memenangi 79 kerusi parlimen.
Sempena ulang tahun Umno ke-67 hari ini, Najib mengajak pemimpin dan anggota Umno supaya bermuhasabah dan menginsafi diri dengan memperbetulkan kelemahan bagi menarik semula sokongan rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Yang sokong, kita ucap terima kasih. Yang tidak undi, kita tanya diri balik bagaimana pada pilihan raya umum akan datang mereka boleh sokong kita.
"Jangan angkuh dan sombong. Kita berjaya kerana rakyat suka, sokong dan percaya. Ingatkan diri sepanjang masa, tak kira pemimpin besar atau akar umbi Umno bahawa kesudahannya rakyat yang akan tentukan kelangsungan dan kekuasaan parti (Umno)," katanya.
Perdana Menteri mengingatkan anggota Umno di semua peringkat supaya melaksanakan segala aku janji dan bersikap mesra rakyat bagi memastikan parti keramat orang Melayu itu dapat menyambut kejayaan yang lebih besar pada lima tahun akan datang.
"Marilah kita semua berusaha sebagai satu pasukan dalam satu ikatan perpaduan kukuh untuk memberi jaminan kepada rakyat bahawa kita akan membawa Malaysia yang lebih aman, makmur dan berjaya di bawah pimpinan Umno dan BN," katanya.
Najib turut menyifatkan Umno sebagai sebuah institusi politik paling berjaya di dunia kerana selepas 67 tahun, parti itu bersama rakan-rakan komponen dalam BN masih kekal mentadbir Malaysia.- Bernama

No comments:
Post a Comment