Saturday, May 11, 2013

JAWATAN MB , TIDAK PERNAH ADA PERJANJIAN MESTI DARI PKR

 Dewan Pemuda Pas Selangor hari ini menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian yang mengatakan jawatan menteri besar Selangor mesti diperuntukkan kepada PKR jika gabungan parti Pas, PKR dan DAP memerintah negeri itu.

Justeru, Timbalan Ketuanya Mohd Sany Hamzan meminta beberapa pemimpin PKR Selangor, termasuk Azmin Ali agar tidak melatah sebaliknya perlu 'cermin diri dan sedar diri' sebelum membuat kenyataan berhubung perkara itu.

"Dewan Pemuda Pas negeri Selangor menganggap kenyataan (pemimpin PKR negeri) Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan Shuhaimi Shafiei yang menekankan bahawa kerusi MB Selangor adalah kerusi tetap PKR ibarat orang tamak haloba yang tidak sedar diri terhadap kemampuan diri sendiri.

"Mungkin PKR Selangor masih bermimpi yang mereka masih memenangi kerusi Dun (dewan undangan negeri di) Selangor melebihi Pas dan DAP," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada pilihan raya umum Ahad lepas, pakatan rakyat memenangi 44 daripada 56 kerusi Dun di negeri itu dengan Pas dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi manakala PKR 14 kerusi.

Barisan Nasional (BN) pula menguasai 12 kerusi Dun.

Mohd Sany berharap pimpinan pakatan rakyat Selangor akan menyelesaikan isu pelantikan menteri besar dalam masa terdekat dan pihaknya akan menghormati keputusan itu.
- Bernama

No comments:

Post a Comment