Saturday, May 18, 2013

Guru Sebagai Agen Perubahan. Selamat Hari Guru 2013.



Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada warga pendidik yang berada di seluruh negara. Segala persiapan untuk meraikan jasa mu para guru sebenarnya terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan apa yang telah dicurahkan untuk mendidik anak bangsa. Malah sambutan ini juga merupakan satu peringatan kepada kita semua bahawa tanggungjawab mendidik itu tidak harus ditimpakan kepada warga guru semata-mata malah bebanannya merupakan suatu perkongsian sepanjang hayat kita. 

Di sebalik kalungan bunga dan kata-kata pujian untuk warga pendidik hari ini, terdapat banyak cabaran struktural yang menghambat usaha untuk mengangkat martabat profesion perguruan. Usaha untuk mengatasi cabaran-cabaran tersebut memerlukan komitmen berterusan pihak Kementerian yang nampaknya lebih gemar berslogan dengan janji-janji transformasi dikala warga guru mendambakan inisiatif sebenar. 

Kontroversi perlaksanaan sistem PBS sebagai contohnya masih tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak yang berwajib. Legasi permasalahan seperti isu penempatan guru yang memisahkan pasangan berkeluarga adalah sebenarnya satu bentuk kezaliman yang telah berlarutan sejak sekian lama. Sebagai pemerintah yang mengangkat dirinya sebagai kerajaan yang mendahulukan Rakyat, rentetan isu yang belum diselesaikan menimbulkan persoalan sejauh mana kerajaan cakna dengan kebajikan warga guru.

Sambutan Hari Guru kali ini juga berlangsung di dalam suasana politik yang rencam dengan persoalan perkauman. Mengambilkira keadaan ini, saya ingin mengajak warga guru untuk menyelami intipati sambutan Hari Guru ini dengan mengimbau sejarah gemilang warga pendidik terdahulu yang berjuang menuntut dan mengisi kemerdekaan serta gigih menyulam semangat perpaduan di antara kaum.

Lakukan pula satu muhasabah jujur mengenai peranan guru waktu ini dengan mengaplikasi piawaian Murabbi bagi melihat penambahbaikan yang perlu dilakukan demi manfaat generasi muda negara. Sudah tiba masanya bagi warga guru kembali mendepani cabaran nasional dan menjadi kompas moral masyarakat di dalam membina Malaysia yang lebih baik.

Untuk itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia beriltizam untuk terus mendokong usaha warga guru menjadi agen perubahan di dalam masyarakat dan akan melakukan segala yang terdaya untuk berjuang mengangkat taraf kebajikan dan profesion perguruan.

Selamat Hari Guru. Sesungguhnya kemurnian jasa dan pengorbanan para guru sekalian hanya Allah sahaja yang mampu membayarnya.

Dari anak muridmu,
Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment