GEORGETOWN - Pihak polis menegaskan ceramah Pakatan Rakyat yang dicadang diadakan di Padang Kota Lama di sini malam esok tidak mendapat kelulusan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata pihak polis telah menolak permohonan untuk mengadakan ceramah itu kerana lokasinya merupakan tempat tumpuan awam dan penganjurannya dibimbangi akan mengganggu ketenteraman orang ramai sekaligus mengundang kesesakan lalu lintas yang teruk.
Beliau berkata permohonan untuk menganjurkan majlis itu juga tidak mematuhi tempoh yang sepatutnya.
"Pihak penganjur mengemukakan permohonan sebelum 10 hari berlangsungnya program itu iaitu pada pukul 2.10 petang Rabu lepas. Namun kita masih memberi peluang untuk mereka berbincang dan penjelasan terperinci telah kita berikan.
"Bagaimanapun mereka tetap mahu meneruskan perhimpunan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Gan berkata pihaknya telah mempertimbang semua aspek dengan teliti berhubung perhimpunan itu dan perbincangan telah diatur pada tengah hari ini melibatkan kedua belah pihak bagi mencapai keputusan terbaik.
Beliau turut menegaskan pihak polis tidak akan menahan sesiapa susulan perhimpunan itu dan hanya akan bertindak sekiranya terdapat individu yang melanggar undang-undang dan cuba mencetuskan kekecohan sepanjang program berlangsung.
Bagi mengawal kelancaran lalu lintas, katanya petugas trafik akan ditempatkan di semua simpang laluan menuju Padang Kota Lama termasuk di laluan keluar masuk menuju terminal feri dan Jambatan Pulau Pinang sementara Jalan Tun Syed Sheh Barakbah akan ditutup sepenuhnya.
Gan berkata kenderaan yang diparkir sesuka hati sehingga menganggu kelancaran trafik akan ditunda.
Ceramah dijangka bermula pukul 8 malam sehingga tengah malam. - Bernama
No comments:
Post a Comment