Saturday, May 18, 2013

PAS TIDAK SEMPURNA


Kerajaan Pas Kelantan mengakui dasar Membangun Bersama Islam yang diperjuangkan sejak 23 tahun lalu belum sempurna ekoran masih ramai gagal mematuhi peraturan ditetapkan seperti menutup aurat.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, model kerajaan Islam yang diidamkan Pas itu hanya akan lengkap sekiranya rakyat benar-benar berusaha mengamalkan ciri-ciri Islam dalam kehidupan seharian.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Kelantan untuk bersama-sama menyokong dasar itu agar berjaya dilaksanakan bukan sekadar memberi undi kepada Pas pada setiap kali musim pilihan raya.

"Kerajaan buat undang-undang dan peraturan tujuannya bukan untuk menyusahkan tetapi memastikan kita 'berjalan' dengan betul, kita sudah pegang dasar Membangun Bersama Islam selama 23 tahun tetapi kita masih bukan sebuah contoh kerajaan yang lengkap dan sempurna.

"Kita mahu bila orang luar bercakap bagaimana hendak mentadbir cara Islam, mereka akan merujuk ke Kelantan dan kita harap orang boleh lihat rupa Islam dalam seluruh kehidupan seharian rakyat di sini sama ada cara kita berniaga dengan amanah atau memberi layanan baik kepada pengunjung luar tanpa menipu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kuliah Jumaat di hadapan pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.
Mengulas mengenai barisan kepemimpinan yang baharu, beliau berkata, barisan di bawah Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob memerlukan kerjasama erat daripada rakyat lebih-lebih lagi selepas tamatnya era Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Jelasnya, tiada siapa dapat mengisi tempat ditinggalkan Nik Abdul Aziz justeru, kepemimpinan sekarang perlu mengambil pendekatan lebih bersifat kolektif dalam pentadbirannya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang turut menyampaikan kuliah yakin 'luka kecil' yang timbul selepas pelantikan kepemimpinan baharu kerajaan negeri baru-baru ini sudah semakin sembuh dengan sokongan rakyat sendiri.


No comments:

Post a Comment