Tatah Kenegaraan
Tahukah anda bahawa George Washington - Bapa dan Pengasas United States of America memakai gigi palsu? Beliau mengalami kerosakan gigi semasa berumur 20an. Beliau juga seorang penunggang kuda dan penari yang dikagumi....
Adakah anda tahu bahawa John Adams yang mempelopori gerakan menuntut kemerdekaan Amerika, tetapi hanya menjadi Presiden yang kedua selepas George Washington? Adakah anda tahu bahawa Deklarasi Merdeka Amerika dikarang oleh Thomas Jefferson? dan adakah anda tahu bahawa John Adams menjadi Duta Amerika yang pertama ke Eropah dan berjaya melobi pinjaman untuk membina negara Amerika dari bank-bank di Amsterdam.
Mungkin anda tidak tahu, tetapi tahukah anda bahawa anak-anak berumur 7 tahun di Amerika sudah diajarkan semua diatas semasa di 1st Grade (darjah 1)?
Sejarah warisan pusaka bangsa mereka menjadi asas yang pertama-tama diasakkan dalam diri anak-anak di Amerika. Mereka mendirikan Amerika atas konsep Patriotisme dan Keusahawanan. Thomas Jafferson - Presiden Amerika yang Ketiga; mengatakan "Agriculture, manufactures, commerce and navigation, the four pillars of our prosperity, are the most thriving when left most free to individual enterprise".
Apa yang berlaku dalam politik Malaysia hari ini terjadi akibat dangkalnya pengetahuan Kenegaraan penduduk Malaysia. Anda mungkin merasakan untuk menjadi rakyat Malaysia yang baik sewajarnya tahu asas berbahasa Melayu, boleh menyanyikan lagu Negaraku dan hafal Rukunegara. Ramai antara kita yang dangkal pengetahuan perihal asas Perlembagaan;- yang diketahui cuma perihal Suruhanjaya Reid, itupun dikonsumsi dari bicara ceramah cacamarba berbaur politik walhal pembicara itu sendiri hentam keromo dan buta sejarah.
Sekalipun ramai rakyat Malaysia yang buta sejarah, tolol perlembagaan malahan gagap akademik, mereka bisa bicara politik dengan puitis sekali seolah-olah mereka pendeta yang tak mungkin silap. Mereka membicarakan dasar-dasar negara atas kefahaman ceramah dan blog tanpa punya asas kukuh berlandaskan ilmu dan pengetahuan. Jelek sekali menepek asas-asas hujah mereka dari blog yang juga tidak punya rujukan dan asas kukuh semata-mata persepsi dan assumsi. Ini kerja orang tolol akademik dan tongong politik. Fanatik tanpa asas!
Malaysia didirikan oleh UMNO legasi perjuangan pemuka yang punya impian dan semangat nasionalis yang kental. Mahukan negara ini menjadi sebuah negara merdeka yang tidak dipayungi Pancasila. Melayu Raya yang kontradiksi dengan Indonesia Raya merupakan gagasan Mahasiswa Maktab Perguruan Sultan Idris pada tahun 1920an, dan akhirnya menjadi gagasan PKMM yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Pak Sako bagi menyatukan Indonesia, Tanah Melayu dan Borneo sebagai satu negara. Beda dengan gagasan Indonesia Raya Partai Komunis Indonesia yang juga bermatlamatkan penyatuan wilayah-wilayah itu, tetapi dengan tujuan untuk melestarikan negara Komunis Ketiga Terbesar di dunia selepas Kesatuan Soviet dan Republik Rakyat China.
Tanah Melayu dimandirikan atas idea sekular demokrasi tetapi berpancangkan Kesetiaan Kepada Raja dan Ketaatan Kepada Islam. Mematerikan satu bangsa berasaskan ilham teokrasi sebagai "privileges" dan mewasikan kekebalan Islam itu kepada Raja yang memerintah. Islam itu kuasa mutlak Raja-Raja Melayu dan hanya bisa dirubah menerusi Parlimen yang meminda Perlembagaan. Kuasa menobatkan Islam di dalam negara ini, terpulang kepada pentadbir yang dipilih rakyat. Andai pentadbirnya mahukan negara ini menjadi sekular sepenuhnya, sekularlah ia. Negara ini sekular pada pentadbirannya, tetapi tidak pada daulatnya. Sekular kerana pentadbiran pelbagai kaum dan agama, tetapi daulatnya tetap pada Raja yang memerintah.
Maka kerana tololnya berpolitik tanpa asas yang kukuh mengenai kenegaraan dan sejarah negara, maka seeloknya pihak pemerintah yang dipilih rakyat menerusi sistem demokrasi mengadakan mata pelajaran "Kenegaraan" sebagai subjek di sekolah rendah bagi memberikan kefahaman vital perihal sistem dan sejarah negara ini, selain dari menyemai semangat patriotik kepada negara ini. Matapelajaran ini mesti mengkhusus kepada asas-asas kenegaraan ini, peristiwa-peristiwa penting, pejuang-pejuang kemerdekaan, asas-asas perlembagaan dan lain-lain.
Paling utama adalah mengangkat mertabat pejuang-pejuang kemerdekaan sebagai hero nasional supaya menjadi satu idola anak-anak kita. Ramai antara mereka cuma diangkat untuk "sekadar tahu" dalam subjek Sejarah sedangkan perjuangan mereka adalah peloporan kepada gerakan-gerakan lain.
Jika wang kertas sudah dipotretkan wajah YDP Agong Pertama;- rasanya tidak salah juga kerajaan memotretkan Dr Burhanuddin Al-Helmy, Pak Sako, Ahmad Boestamam, Syed Sheikh al-Hadi, Dato' Onn Jaafar, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan dan lain-lain pada tatah wang syiling negara sebagai satu tanda penghormatan dan penghargaan atas jasa mereka terhadap negara ini. :)
No comments:
Post a Comment