Monday, April 8, 2013

"TUHAN" DI TAHAN POLIS


Seorang lelaki dipercayai ketua kumpulan ajaran sesat dikenali sebagai 'Tuhan Harun' ditahan pada Khamis lalu, bagi membantu siasatan kes penipuan bernilai RM400,000, lima tahun lalu.


Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, penahanan itu dibuat setelah polis menerima laporan daripada seorang kontraktor berusia 56 tahun yang mendakwa ditipu suspek pada 2008.


Menurutnya, pada Oktober 2008, mangsa terbabit telah didatangi suspek yang menawarkan pelaburan di Islamic Business Central, Sungai Buloh, Selangor, melalui projek perumahan, import dan eksport barangan dari China serta mengedar telefon bimbit di Brunei.

"Suspek telah menawarkan mangsa untuk membeli seunit saham bernilai RM200,000 dan dijanjikan pulangan 40 peratus setiap bulan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sepasukan anggota penguatkuasaan dari Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah menahan suspek bersama pengikutnya semasa sedang menjalankan 'ritual' bermain muzik berentak rock pada waktu Maghrib sambil menyanyikan lagu dengan lirik memuja dirinya.


Turut ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Lorong Pandan Damai di sini ialah 31 individu termasuk enam wanita berusia 12 hingga 49 tahun dalam kumpulan itu.
Mengulas lanjut kes penipuan itu, Sharifuddin berkata, tawaran dibuat suspek telah menarik minat mangsa sehingga sanggup menyerahkan wang kepada lelaki itu di rumahnya.


"Selepas menerima wang RM200,000 itu, suspek sekali lagi meminta mangsa membuat pelaburan tambahan iaitu seunit saham lagi.

"Mangsa yang mempercayai suspek tidak membantah dan menyerahkan lagi RM200,000 kepada lelaki itu di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang tinggal di bandar ini akhirnya membuat laporan polis pada 2011 selepas gagal mendapatkan pulangan keuntungan seperti dijanjikan.
Katanya, suspek merupakan seorang komposer berasal dari Kampung Jelutung Kok Lanas dekat Ketereh, Kelantan dan memiliki Sijil Agama dari Yayasan Islam Kelantan direman sehingga Selasa ini untuk disiasat lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


No comments:

Post a Comment