Monday, April 8, 2013

KARPAL TAK ADA INTEGRITI DAN KREDIBILITI


Pengerusi DAP, Karpal Singh sudah hilang integriti dan kredibiliti apabila tidak bertindak tegas terhadap masalah moral Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, perkara itu penting kerana Karpal mendakwa mempunyai bukti kukuh Anwar terlibat dalam kegiatan liwat.


"Karpal pernah membuat tuduhan terhadap Anwar di dalam sidang Parlimen pada tahun 1997 mengatakan ada bukti kukuh Anwar terlibat dalam kegiatan liwat.
"Tetapi pada Disember 2012, Karpal membuat pusing 'U' apabila menyatakan Anwar layak menjadi Perdana Menteri.


"Saya hendak tanya dimanakah nilai moral dan integriti yang disebut-sebut dalam perlembagaan parti DAP dan Karpal sendiri kerana kita tahu liwat adalah kegiatan tidak bermoral yang salah di sisi agama dan undang-undang," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Menurut Zahrain, sehingga kini, Karpal masih belum menarik balik kenyataan yang telah direkodkan dalam hansard Parlimen itu.
Dalam pada itu, Zahrain turut menyelar Karpal mengenai ketelusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu Disember tahun lalu apabila 752 perwakilan DAP tidak menerima surat kehadiran untuk mengundi dalam pemilihan itu.


"Secara jelas, 752 ahli DAP yang ramai daripada kaum India tidak dapat hadir, di manakah ketelusan parti DAP yang bercakap mengenai prinsip kebebasan dan proses pemilihan yang bersih.


"Dalam isu ini, Karpal wajib menjawab, kalau tindakan pemimpin adalah bercanggah dengan perlembagaan parti, apa gunanya ada perlembagaan, lebih baik dicampak sahaja ke bakul sampah," katanya.


Jelasnya, sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengambil tindakan terhadap DAP berhubung kontroversi CEC itu, tiada pihak boleh melenting kerana kepimpinan DAP perlu bertanggungjawab.
Tegasnya, Pas juga tidak wajar membenarkan DAP mengunakan lambang parti itu dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) kerana perjuangan DAP tidak pernah memartabatkan kedudukan agama Islam.



No comments:

Post a Comment