Thursday, April 4, 2013

SIDEK BUAT AHLI PKR TERKEDU


Keputusan tokoh akademik, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba meninggalkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga rakan baik beliau, disifatkan sebagai satu kejutan buat penyokong tegar Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, hubungan erat antara Sidek dan Anwar dilihat begitu istimewa dan mempunyai persefahaman.
Namun menurut bekas Ketua Penerangan Pemuda PKR itu, sifat berhati-hati tokoh akademik tersebut menjadi faktor penarikan diri beliau daripada agenda peribadi Anwar.


'Saya sendiri kenal Sidek dan sepanjang bersama Anwar, beliau merupakan seorang tokoh yang berpendirian teguh dan berwaspada dengan maklumat yang diterima.
''Jadi saya yakin keputusan Sidek meninggalkan Anwar itu berdasarkan pengalaman beliau sendiri selama hampir 40 tahun berjuang bersama Ketua Pembangkang itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Beliau mengulas kenyataan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam, yang menyifatkan tindakan Sidek meninggalkan Anwar berasaskan pemerhatian mendalam terhadap PKR.
Bagi bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda PKR, Nordin Ahmad pula, beliau yakin akan lebih ramai 'orang kuat' Anwar akan turut mengikuti jejak langkah Sidek untuk meninggalkan pemimpin pembangkang itu.


Dakwanya, setiap individu dan pihak yang rapat dengan Anwar termasuk pemimpin pembangkang yang lain turut sedar dan mengetahui sikap sebenar bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.
"Buat masa ini, mereka yang masih berdiri di sebelah Anwar adalah kerana menjaga kepentingan diri sendiri berikutan 'kejayaan' besar Anwar dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu dan memilih jalan selamat untuk terus berjuang bersama sekiranya Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri.
"Namun jika Anwar kalah pada pilihan raya akan datang, lebih ramai pihak akan mengikuti jejak langkah Sidek, malah segala rahsia berkaitan salah lakunya bakal didedahkan satu persatu," ujarnya.
Nordin turut yakin karier politik Anwar dan keluarganya akan turut berakhir sekiranya beliau gagal menang pada pilihan raya umum tidak lama lagi sekali gus misi menjadi Perdana Menteri bakal berkubur.
Kedua-dua bekas aktivis PKR itu juga menasihatkan rakyat tidak memilih pemimpin yang boleh memudaratkan kestabilan dan keharmonian negara.


No comments:

Post a Comment