Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri menyelar Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mendakwa tidak diberitahu oleh orang kanannya mengenai pelaburan kerajaan DAP Pulau Pinang sebanyak RM3.14 bilion di Wuhu, China.
Penerangannya, H'ng Khoon Leng berkata, adalah tidak logik seorang ketua kerajaan negeri memberikan alasan tidak mengetahui perkara yang melibatkan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman.
Malah, tegasnya, mengikut tatacara kakitangan awam, setiap perjalanan ke luar negara seharusnya mendapat kebenaran pegawai tinggi sebelum berlepas melangkaui sempadan negara.
Jadi, bagaimana Guan Eng boleh tidak tahu mengenai pelaburan ini dan kita mahu beliau bersama Mansor menjelaskan kepada semua rakyat berhubung projek ini dengan lebih mendalam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Isnin lalu, Pemuda BN mendedahkan mengenai pembabitan kerajaan negeri dalam projek Taman Elektronik Pulau Pinang di Wuhu yang langsung tidak didedahkan kepada media tempatan sedangkan media di China telah menyiarkan berita berhubung pelaburan itu.
"Guan Eng selalu cakap akhbar arus perdana di bawah kawalan BN dan UMNO tetapi projek bernilai berbilion ringgit ini juga langsung tidak dilaporkan oleh media yang dikuasai pembangkang seperti Buletin Mutiara.
"Selain itu, kita lihat Guan Eng seolah-olah cuba mengelak untuk mengulas sesuatu isu yang berkaitan dengan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dahulu isu bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Mohamad Fairus Khairuddin kini Mansor pula," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Negeri, Shaik Hussein Mydin menegaskan, Guan Eng perlu bertanggungjawab dalam isu tersebut kerana ia melibatkan kredibiliti kerajaan negeri.
"Isu ini juga seolah-olah mempunyai agenda tersendiri yang menunjukkan Mansor cuba bertindak dengan membelakangkan 'bos' sendiri.
"Oleh itu, sebagai Ketua Menteri, Guan Eng perlu lebih bertanggungjawab. Mana kita tahu andai Mansor selepas ini cuba menjual Pulau Pinang kepada pihak lain tanpa pengetahuannya dan kita semua," katanya.
Beliau berkata, Guan Eng sepatutnya berterima kasih kepada Pemuda BN kerana mendedahkan isu yang beliau langsung tidak diberitahu.
No comments:
Post a Comment