Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, pemilihan DUN Padang Kota jelas menunjukkan Guan Eng sendiri tidak yakin dengan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan pakatan pembangkang di negeri ini.
Tegasnya, jika Guan Eng benar-benar berani untuk menentang Chang Yeow, beliau sepatutnya memilih kerusi DUN yang peratusan pengundinya adalah seimbang.
"Nampak sangat Guan Eng tidak berani untuk 'berentap' dengan Chang Yeow. Kita yakin rakyat Pulau Pinang boleh menilai apa yang berlaku.
"Peluang untuk Chang Yeow menang sangat baik kerana kita lihat keyakinan rakyat Pulau Pinang terhadap Guan Eng semakin merosot," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Kampungku Mahir 2013 peringkat Pulau Pinang di Kampung Sungai Pinang, di sini hari ini.
Program anjuran GiatMara itu merupakan program berterusan selama setahun bagi menerapkan ilmu kemahiran kerja tangan kepada masyarakat setempat dengan bermatlamatkan satu insan satu kemahiran.
Semalam, Chang Yeow dalam satu sidang akhbar menyatakan kesudian untuk menyahut cabaran Guan Eng untuk 'berentap' dalam pilihan raya umum akan datang dengan syarat Guan Eng membiarkan BN menentukan kerusi yang hendak direbut.
Hilmi dalam pada itu menambah, cabar-mencabar untuk bertanding dalam pilihan raya sudah sememangnya menjadi tradisi DAP sejak dari dahulu lagi.
"Tindakan Guan Eng memilih Padang Kota jelas menunjukkan beliau rela untuk melepaskan DUN Air Putih yang dimenangi dalam pilihan raya umum lalu, jadi kita harap beliau juga terbuka untuk bertanding di mana-mana DUN lain," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hilmi turut memberitahu, Kerajaan Pusat telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM726,000 melalui GiatMara untuk membaiki 66 buah rumah penduduk di seluruh Parlimen Balik Pulau.
"Itu jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Pusat terhadap rakyat Pulau Pinang sedangkan kerajaan negeri tiada pendekatan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.
"Lima tahun memerintah, satu unit rumah mampu milik langsung tidak didirikan, malah sekarang ini harga rumah paling murah yang dibangunkan di Balik Pulau adalah berharga RM500,000. Siapa yang mampu untuk membeli rumah dengan harga setinggi itu?" soalnya.
Beliau seterusnya menyelar sikap lepas tangan kerajaan negeri dalam menyediakan prasarana perumahan untuk rakyat di negeri ini.
"Sudahlah tidak mahu membangunkan rumah untuk rakyat, apabila Kerajaan Pusat mahu membangunkan projek perumahan mampu milik disekat pula.
"Ada satu projek JKP Sdn. Bhd. di Balik Pulau yang sudah lebih empat tahun tidak diluluskan pelan oleh kerajaan negeri. Perkara ini sangat serius kerana melibatkan kebajikan untuk rakyat," katanya.
No comments:
Post a Comment