Wednesday, April 24, 2013

DUN SUNGAI ACHEH : PAS TUNDUK ARAHAN ANWAR


Perebutan kerusi Dun Sungai Acheh antara PKR dan Pas akhirnya selesai apabila ia menarik diri dan memberi laluan kepada PKR untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).


Memetik laporan yang disiarkan Harakahdaily.net, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Saleh Man berkata, persetujuan dicapai oleh kepimpinan tertinggi Pas dan Pakatan Rakyat (PR) dan oleh itu, semua pihak harus akur.

Beliau berkata, jentera Pas dan PKR harus bergerak bersama dengan satu matlamat iaitu memastikan BN tewas kali ini.

"Saya sudah jalankan tanggungjawab bersama kepimpinan Pas negeri untuk memastikan Dun Sungai Acheh ditandingi Pas. Tetapi, ia adalah keputusan pihak tertinggi Pas yang tentunya mempunyai pengetahuan tinggi," katanya.

Sehubungan itu, semua pihak diminta menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti itu.

Bagaimanapun, beliau meminta pimpinan Pas pusat segera turun padang bagi menjernihkan kekeruhan yang berlaku dan menjelaskannya khususnya kepada jentera dan anggota parti di kawasan berkenaan.

"Pas pusat sendiri perlu datang untuk menenangkan keadaan dengan menyatukan semua pihak terutama kedua-dua parti gabungan PR itu," katanya.

Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, Pas yang diwakili Ketua Pemudanya, Mohd Yusni Mat Piah disahkan menjadi calon untuk bertanding di Sungai Acheh manakala PKR menampilkan Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kebangsaan, Badrul Hisham Shahrin untuk menentang penyandang kerusi berkenaan, Datuk Mahmud Zakaria dari BN.

Perebutan kerusi antara Pas dan PKR itu menimbulkan pelbagai persepsi termasuk ketidaksepakatan antara dua parti itu sehingga rakan sekutu melalui Pengerusi DAP, Karpal Singh menegur sikap kepimpinan tertinggi PKR dan Pas yang gagal menyelesaikannya.

Karpal berkata, pertembungan sesama sendiri akan menjejaskan hasrat PR mencatatkan kejayaan lebih besar seterusnya menawan Putrajaya.

Kerusi Dun Sungai Acheh antara tujuh kerusi yang dilaporkan berlaku pertindihan antara Pas dan PKR.

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  mengumumkan cadangan Pas untuk menyerahkan kerusi Dun Sg Acheh kepada PKR.

Dua lagi kerusi yang turut diserahkan kepada PKR adalah Parlimen Labuan dan Dun Panti di Johor.

Sebagai balasan, PKR dicadangkan agar menyerahkan tiga Dun di Terengganu iaitu Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera kepada Pas.

Manakala kerusi Dun Kota Damansara di bawah Parlimen Subang akan dirundingkan antara Pas dan PKR.
Cadangan ini diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas yang dipengerusikan Abdul Hadi sendiri.

Keputusan itu akan menyaksikan semua kerusi terbabit menghadapi  pertandingan satu lawan satu antara calon PR dengan BN.