Friday, April 19, 2013

ARAB SPRING BAKAL MELANDA MALAYSIA


KUALA LUMPUR 18 April - Pihak keselamatan diminta menyiasat pelancaran kempen Malaysian Spring yang dilancarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana didakwa mempunyai kaitan dengan rusuhan jalanan ala Arab Spring.

Bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda PKR, Nordin Ahmad mendakwa, tindakan pemasangan bendera kuning di bulatan Lucky Garden, Bangsar yang dikatakan simbolik kepada pelancaran kempen itu.

Ia dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan pertubuhan tidak berdaftar Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bagi menyuntik semangat benci, biadab dan melawan kerajaan dalam kalangan rakyat.

Ujarnya, pemasangan bendera itu sebagai langkah awal pakatan pembangkang yang disokong kuat Bersih, untuk mencetuskan kemarahan rakyat sebelum menggalakkan mereka mengadakan demonstrasi kononnya untuk menuntut pilihan raya adil, bersih dan telus.

"Berani saya katakan, mereka (PKR) sudah mengetahui keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak akan memihak kepada mereka. Jadi sebagai langkah awal parti itu harus bertindak melancarkan Malaysian Spring yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan Arab Spring.

"Persoalannya, apakah motif mereka melancarkan Malaysian Spring yang dikatakan kempen pilihan raya dengan kos paling minimum dan mengapa bendera kuning sebagai warna utama kempen itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, akhbar ini menyiarkan gambar misteri bendera kuning dipasang di bulatan Lucky Garden, Bangsar yang langsung tiada kaitan dengan bendera parti-parti bertanding.

Sementara itu, portal berita milik PKR, KeadilanDaily melaporkan, pemasangan bendera terbabit adalah sempena pelancaran kempen Malaysian Spring oleh calon PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Menurut laporan itu, setakat ini sebanyak 18,400 bendera kecil telah dipasang dan dijangka meningkat kepada 200,000 menjelang PRU-13.

Nordin meminta pihak berkuasa tidak memandang remeh tindakan yang bakal dilakukan pembangkang jika mereka kalah.

"Seperti yang telah saya bongkar dalam Utusan Malaysia baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merancang mengadakan demonstrasi jalanan ala Arab Spring ini sejak beliau dipenjarakan pada 1999.

"Sekarang dia bergerak bebas, tidak mustahil satu lagi insiden Arab Spring akan berlaku di negara ini sekiranya tindakan awal tidak diambil bagi mengatasi perkara ini," tegasnya.

No comments:

Post a Comment