Thursday, February 14, 2013

TUN M MENGAKU, UMNO MENIPU PAS ...???


Tun M jawab isu UMNO tipu Pas

Dr. Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR 13 Feb. - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan UMNO tidak pernah menipu atau menjadi punca perpecahan Pas sehingga membuatkan parti tersebut mengambil langkah keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 1978.
Menurut bekas Perdana Menteri, apa yang dinyatakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Pas telah ditipu UMNO semasa parti itu berada dalam BN adalah tidak benar malah tidak dijelaskan secara terang.
''Saya sebagai menteri dalam Kabinet Tun Hussein (Allahyarham Tun Hussein Onn) ketika Pas keluar daripada BN. Saya juga ada dalam Kabinet Tun Razak (Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein) bersama Presiden Pas, Datuk Mohd. Asri Muda dan Datuk Hassan Adli semasa Pas menyertai BN.
''Mohd. Asri diberi jawatan Menteri Tanah dan Galian serta bertanggungjawab terhadap Felda. Setelah beberapa bulan Pas berada dalam BN, ahli-ahli UMNO Johor membuat aduan kepada Tun Abdul Razak dalam majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung UMNO bahawa Mohd. Asri giat mempromosikan Pas terhadap peserta Felda. Saya berada di sisi Tun ketika itu,'' katanya menerusi blognya, http://chedet.cc.
Dr. Mahathir menambah, ketika itu, secara kebetulan hampir semua peserta Felda terdiri daripada penyokong kuat UMNO dan tindakan sedemikian membuatkan peserta Felda mula menolak UMNO.
''Ahli-ahli UMNO di seluruh negara berpendapat penyertaan Pas tidak menolong BN. Ia hanya untuk memberi peluang kepada Pas mengembangkan pengaruh dalam kalangan ahli UMNO dan orang Melayu.
''Di waktu itu timbul sengketa antara Mohd. Asri sebagai ketua Pas dengan Datuk Mohd. Nasir sebagai Menteri Besar untuk ganti Mohd. Asri. Mohd. Nasir mendakwa dia telah kesan banyak penyelewengan yang dilakukan Mohd. Asri semasa dia menjadi Menteri Besar Kelantan,'' ujarnya.
Katanya, Mohd. Asri cuba menyingkirkan Mohd. Nasir melalui undi tidak percaya dan walaupun kalah, Mohd. Nasir enggan meletak jawatan.
Jelasnya, ramai ahli Pas memihak kepada Mohd. Nasir dan mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran menentang Mohd. Asri.
''Kerana Pas berpecah, Kerajaan BN Kelantan tidak dapat berfungsi. Darurat terpaksa diisytihar dan seorang pegawai kanan dilantik untuk memangku jawatan Ketua Pentadbir Kelantan. Pada Mac 1978, pilihan raya peringkat negeri diadakan di Kelantan.
''Mohd. Nasir menubuh parti Berjasa yang bertanding melawan Pas. Sokongan kepada Berjasa begitu kuat sehingga memenangi 11 kerusi. Pas memenangi hanya dua kerusi,'' katanya.
Menurut Dr. Mahathir, perpecahan dalam Pas bukan kerana UMNO tetapi kerana Mohd. Nasir mencabar kepemimpinan Mohd. Asri.
''Kekalahan Pas menyebabkan Pas keluar daripada BN. Tidak ada penipuan oleh UMNO. Walau apa pun yang terjadi dahulu, jika seruan dibuat supaya berdamai, orang Islam disuruh oleh agama supaya menyambut seruan kedamaian.
''Orang Islam disuruh bersatu padu, menganggap semua orang Islam sebagai saudara. Penolakan perpaduan sesama orang Islam tidak menepati ajaran Islam. Janganlah orang Islam menolak usaha menyatu padu untuk memperkuatkan orang Islam dengan membuat tuduhan yang tidak berasas,'' katanya.


No comments:

Post a Comment