Thursday, February 14, 2013

PAS RELA DAP CAMPUR TANGAN ...???


Tidak rela Karpal campur tangan

Harun Taib Ketua Dewan Ulama Pas
KUALA TERENGGANU 13 Feb. - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menegaskan beliau tidak rela Pengerusi DAP, Karpal Singh campur tangan dalam urusan Majlis Syura Ulama parti itu.
Menurut Harun, Karpal tidak boleh campur tangan dalam urusan Majlis Syura Ulama Pas walaupun Pas dan DAP berada dalam satu pakatan.
''Saya tak suka orang lain ataupun dia campur tangan.
''Saya harap Karpal jangan lagi campur tangan hal dalaman Majlis Syura Ulama. Saya pun malas nak melayan dia," tegasnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Karpal yang menganggap dakwaan Majlis Syura Ulama menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai spekulasi semata-mata.
Sebelum ini, timbul khabar angin mengenai penolakan Majlis Syura Ulama parti itu berkaitan pelantikan Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
Karpal juga mahu Majlis Syura Ulama Pas menghormati keputusan bersama yang dicapai oleh pemimpin pakatan pembangkang tentang isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Selain kenyataannya hari ini, pada 3 Februari lalu Harun turut menyanggah tindakan Karpal apabila Pengerusi DAP itu cuba mengarahkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkaji semula keputusan Majlis Syura Ulama Pas dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain.
Harun menegaskan, Karpal tidak sepatutnya mencampuri urusan dalaman parti lain dan dalam masa sama mempertikaikan kelayakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu memberikan pandangan dalam isu tersebut.
Harun seterusnya berkata, soal siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang bergantung kepada sokongan serta populariti seseorang calon, tidak kira sama ada Anwar atau Abdul Hadi.
Beliau meminta semua pihak supaya 'bersabar' dan menunggu berlangsungnya pilihan raya umum untuk mengetahui siapa sebenarnya paling layak menjadi pemimpin nombor satu negara nanti.
"Sebenarnya saya tak boleh jawab sekarang. Kita tunggu pilihan raya nanti. Yang pasti, calon yang menjadi Perdana Menteri adalah berdasarkan populariti.
"Siapa yang dapat sokongan ramai atau paling popular, tak kira Anwar atau Abdul Hadi, dialah yang akan menjadi Perdana Menteri," katanya.


No comments:

Post a Comment