Saturday, November 10, 2012
PENJAJAHAN CARA BARU
Penguasaan tanah jajahan melalui kekuatan ketenteraan tidak lagi dapat diterima oleh masyarakat dunia. Tetapi penjajahan fizikal seperti ini tidak perlu lagi. Penguasaan melalui dagangan matawang tidak kurang kesannya. Negara yang berada pun boleh dijajah dengan menjadikannya negara miskin dan pengemis dalam jangkamasa yang amat singkat tanpa seorang pun askar penjajah terbunuh atau tercedera. Apabila negara menjadi miskin maka politiknya akan menjadi tidak stabil dan rebutan kuasa akan berlaku. Dengan itu pemimpin akan ditukar sehingga terdapat yang sanggup mengikut kehendak kuasa dunia. Dengan perkataan lain penjajahan sudah berlaku.
Walaupun kita belum dikuasai sepenuhnya oleh kuasa asing tetapi sedikit sebanyak mereka sudah menguasai ekonomi kita. Dengan menjatuhkan nilai Ringgit dan harga saham, syarikat-syarikat milik kita sudah menjadi tenat dan tidak dapat mengaut keuntungan lagi. Apabila syarikat-syarikat kita tidak untung atau terus rugi maka cukai Kerajaan akan berkurangan. Dengan itu Kerajaan mungkin tidak akan dapat membiayai perbelanjaan pentadbiran. Ini pun boleh mencetuskan kegelisahan dan desakan supaya dijatuhkan Kerajaan. Jarum yang mereka guna amat halus dan kita mungkin tidak sedar bahawa kita sudah diperalatkan oleh mereka.
Kita telah lihat keadaan ini berlaku di beberapa negara lain yang diserang dengan lebih teruk. Mungkin ada yang percaya bahawa dengan menukar pemerintahan maka masalah ekonomi akan dapat diselesaikan. Tetapi percayalah serangan tidak akan dihentikan sehingga kuasa terserah secara bulat-bulat kepada orang asing, iaitu sehingga negara dijajah sepenuhnya semula. Yang penting bagi mereka bukan pemerintahan yang lebih telus atau demokratik dan lain-lain. Yang diutamakan mereka ialah pemerintahan yang lebih sanggup menerima arahan daripada kuasa tertentu.
Apakah boleh kita yakin apa yang berlaku kepada negara lain tidak mungkin berlaku kepada kita? Apabila Mexico diserang kita sedikit pun tidak gentar. `Fundamentals` atau asas-asas ekonomi kita kukuh. Tentu ada sesuatu yang tidak baik yang dilakukan oleh Kerajaan Mexico yang menjadikan mereka lemah dan diserang oleh pedagang matawang.
Negara-negara lain mengkaji sebab-sebab Mexico menghadapi masalah. Mereka mengambil tindakan untuk menyelamatkan diri mereka. Slovenia dan Chile tidak membenarkan pelaburan dalam pasaran saham mereka tanpa wang pertaruhan serta jaminan tidak akan menarik keluar pelaburan mereka sehinggalah genap satu masa tertentu. Tindakan mereka adalah radikal, tidak mengikut amalan dan peraturan biasa yang telah dicipta di negara maju untuk kepentingan mereka. Kita tidak akan bertindak begitu kerana kita berpegang kuat kepada apa yang dikatakan amalan biasa oleh dunia maju. Lagipun kita suka dipuji oleh orang tertentu.
Demikianlah kuatnya `orthodoxy` kita dan keyakinan kepada `fundamentals` kita sehingga kita sengaja membukakan pasaran saham kita dengan luas. Ramailah rombongan yang pergi ke Amerika Syarikat untuk membuat `road shows` untuk menarik dana asing melabur dalam industri terkemuka kita. Saham kita naik harga dengan tinggi kerana dikejar oleh pelabur asing. Walaupun Kerajaan berkali-kali memberi amaran bahawa harga saham yang terlalu tinggi sehingga tidak ada kaitan dengan aset atau prestasi syarikat adalah tidak sihat, berbahaya, tetapi ramai pengurus yang cuma melihat keuntungan besar daripada kenaikan harga saham.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment