Tuesday, March 13, 2018

BARU 4 HARI KL SPECIAL FORCE KUTIP RM4.7 JUTA




Empat hari memasuki panggung, filem KL Special Force membuktikan kehebatan apabila berjaya mencatat kutipan RM4.7 juta mengatasi kutipan filem pecah panggung, Abang Long Fadil 2 dalam tempoh yang sama sebelum ini.


Salah satu adegan dalam KL Special Force yang menampilkan lakonan Syamsul Yusof dan Fattah Amin.
Produsernya, Datuk Yusof Haslam berkata, beliau sudah menjangka filem arahan Syafiq Yusof itu bakal menggegarkan panggung namun tidak menyangka sehebat itu.


Malah, beliau juga meletakkan harapan yang tinggi kepada filem yang menampilkan gandingan hebat Syamsul Yusof, Datuk Rosyam Nor dan Fattah Amin itu.

“Alhamdulillah, setakat semalam, kutipan melebihi catatan sejarah Abang Long Fadil 2 dengan berjaya mengutip RM4.7 juta. Satu perkembangan yang sangat baik untuk sebuah filem.

“Memang ada tanda-tanda mahu pecah panggung tetapi kita tunggu dan lihat. Saya sendiri sebagai ayah, kagum dengan kemampuan pengarahan Syafiq,” katanya kepada UTUSAN ONLINE di sini hari ini.

Dalam pada itu, filem KL Special Force juga mendapat reaksi positif pengguna media sosial yang menyifatkan filem itu sebagai satu tanda aras baharu bagi industri perfileman tempatan. - UTUSAN ONLINE

LINDA, EDRY KEMBALI BERSAMA



Bekas anggota kumpulan Elite iaitu Linda Rafar, 40, mengambil masa selama empat tahun untuk menerima suratan takdir hidupnya selepas kehilangan anak sulung, Rezaimen Keiflin Keifli pada 2014.

Linda atau nama sebenarnya Azlinda Rafar memberitahu, dia telah mengeluarkan sebuah single berjudul Satu Lagi demi memperingati pemergian anaknya yang meninggal dunia akibat ketumbuhan barah dalam perut.


“Lagu ini telah lama dihasilkan tetapi saya masih belum cukup kuat untuk menerima hakikat bahawa Memen (panggilan untuk Rezaimen) telah tiada.

“Diakui, sukar untuk saya ‘move-on’. Bagaimanapun, dengan semangat yang diberikan suami, saya gigihkan juga untuk merakamkan lagu ini sebagai simbolik pemergiannya,” katanya kepada Utusan Online.

Menurut Linda, selain ingin memperingati kehilangan anak kedua hasil perkahwinan pertamanya pada 1999 dengan pelumba kereta Keifli Othman itu, dia juga mahu mendedikasikan lagu tersebut kepada semua kaum ibu yang senasib dengannya.

Tambah Linda, Satu Lagi akan dilancarkan serentak di platform digital pada 28 Mac ini dan merupakan karya ciptaan sepenuhnya Edry Abd. Halim dengan kerjasama KRU Studios sebagai pengedar.

“Pada masa yang sama, saya juga dalam proses menerbitkan novel kedua Menunggumu Di Pintu Syurga.

“Saya harap, lagu dan novel ini dapat menjadi inspirasi serta kekuatan kepada semua penghidap kanser dan ahli keluarga mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Linda bakal menjalani penggambaran di Maghribi serta Jepun kerana terbabit mengacarakan dua buah program televisyen terbitan TV Alhijrah dan juga Astro.

“Alhamdulillah, rezeki tahun ini agak memberangsangkan. Terbaharu, saya dilantik sebagai duta produk Umairah Uzma dan berharap permulaan yang baik untuk kembali aktif dalam bidang seni,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

PAKATAN JANJI SEGALANYA PERCUMA




Tak masuk akal ! Itulah perkataan yang sewajarnya dianugerahkan kepada Manifesto Pakatan Harapan. Apa mereka ingat mentadbir negara ini boleh dibuat main-main dengan mengula-gulakan rakyat dengan janji kosong dan tak berpijak dibumi yang nyata.

Pakatan yang diketuai DAP menjanjikan akan melaksanakan 10 perkara dalam tempoh 100 hari jika dapat menawan Putrajaya, antaranya memansuhkan perlaksanaan cukai GST dan memperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

GST seperti yang kita ketahui menyumbang RM45 bilion kepada pendapatan negara. Adalah tidak masuk akal untuk negara kehilangan sebahagian besar sumbangan GST kepada pendapatan negara. Bagaimana mereka ingin menguruskan perbelanjaan negara dengan kehilangan pendaptan sebegitu besar. 

Menurut Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, semua janji yang ditawarkan dalam manifesto itu dilihat tidak munasabah dan hanya lebih bersifat populis dengan matlamat memancing undi pilihan raya.

"Manifesto Pakatan Harapan hanyalah omogan kosong yang kita lihat janjinya tidak boleh ditepati. Mereka hanya memainkan perasaan rakyat dengan mengadakan pelbagai janji populis jangka pendek dan tidak mempunyai hala tuju dan masa depan.



Idea dalam manifesto pembangkang merupakan copy-paste idea 2013 yang sehingga kini langsung tidak ditunaikan oleh mereka. Pendek lata semuanya menipu belaka. Sedangkan sudah dua penggal mereka berjaya kekal di Pulau Pinang dan Selangor. Mahukah rakyat sekali lagi dipermainkan oleh mereka ?

Lima Teras utama yang ditampilkan dalam manifesto pembangkang mengulangi janji-janji kosong menghapuskan tol. Dahulu semasa PRU 13 pun mereka memberi janji-janji yang sama. Namun tak ada satu tol pun yang dimansuhkan sebaliknya dinaikkan lagi.

Janji dan Harapan rakyat dipersia-siakan oleh pembangkang tanpa rasa malu dan bersalah. 


Sebaliknya Kerajaan Barisan Nasional telah membuktikan kata perlu dikotakan dengan menamatkan operasi tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor sejak 1 Januari lalu. Justeru itu sewajarnya rakyat melihat siapa yang boleh dipercayai.  


Monday, March 12, 2018

AZMIN KENA "SEKEH KEPALA" DENGAN NAJIB

Hasrat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali cuba ‘memalukan’ Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang Dewan Rakyat hari ini apabila mengaitkan kemelut 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dengan hutang negara akhirnya memakan diri.

Perdana Menteri sebaliknya memberikan reaksi sinis kepada pertanyaan tersebut dan memulangkan paku buah keras kepada Ahli Parlimen Gombak itu dengan menyifatkan masalah air di Selangor adalah lebih kritikal.

Jawapan Najib tersebut menyebabkan Mohamed Azmin tidak berpuas hati dan mempersoalkan kewajaran isu air di negeri tadbiran beliau dikaitkan.

Bagaimanapun, reaksi Mohamed Azmin itu sekali lagi memakan diri apabila Ahli-ahli Parlimen BN bangkit ‘mengkritik’ urus tadbir air di Selangor sehingga menyusahkan mereka serta rakyat.

Lebih ‘menyedihkan’ ialah tidak ada seorang pun wakil rakyat pembangkang yang berdiri cuba mempertahankan Timbalan Presiden PKR itu.

Najib menjelaskan, peluang telah diberikan kepada Mohamed Azmin untuk bertanyakan soalan dan sewajarnya beliau juga perlu diberi peluang untuk menjawab.

“Saya buat perbandingan, ada contoh. Tetapi kenapa Gombak panas punggung sentuh pasal air? Hairan, hairan,” sindir beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohamed Azmin sama ada kemelut hutang 1MDB mendatangkan kesan kepada peningkatan jumlah faedah hutang negara pada sesi soal jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. - UTUSAN ONLINE

ROS TAK BETUL ! SAYA SORANG SAJA YANG BETUL DALAM DUNIA NI



Tun Dr Mahathir Mohamad berterusan menyalahkan kerajaan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung isu pendaftaran parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sedangkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri, UMNO juga pernah diharamkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad, berkata tindakan ROS adalah adil dan mengikut perlembagaan, malah kes pendaftaran PPBM dibuat berdasarkan aduan ahli parti itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PPBM, sebagai `bapa berita palsu' apabila berterusan menyalahkan dan membuat berita tidak benar mengenai tindakan ROS.

"Dr Mahathir kata ROS bersikap biased (berat sebelah) dan tidak adil dalam meluluskan pendaftaran PPBM walaupun kes ini sebenarnya tindakan mahkamah yang dibawa oleh mereka (ahli parti) sendiri," katanya pada sidang media selepas melawat program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Pulai, di Medan Selera Taman Cempaka di sini, hari ini.

Nur Jazlan berkata, Dr Mahathir perlu sedar apa yang dia dilakukan sehingga UMNO diharamkan pada tahun 1988 ketika memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri merangkap Presiden UMNO.

Tambah beliau, perkara sama kini berulang apabila PBBM gagal didaftarkan selepas ROS mendapat pelbagai aduan daripada ahli parti itu sendiri.

"Saya tak mahu komen lebih lanjut lagi, cuma saya nak kata, ada suatu ketika dulu bila dia menjadi Perdana Menteri (iaitu) pada tahun 1988, UMNO diharamkan kerana aduan daripada beberapa cawangan mengenai kelakuan mesyuarat agung di cawangan, aduan dibuat di cawangan tetapi yang terjejas adalah UMNO pusat.

"Saya nak ingatkan Dr Mahathir, siapa Menteri Dalam Negeri pada ketika itu, siapa yang mengarahkan ROS untuk bertindak berpihak kepada UMNO. Pada ketika itu UMNO dinyah daftarkan dan ditubuhkan serta didaftarkan semula. Dia Perdana Menteri (pada masa itu) dan menteri bertanggungjawab pada ROS.

"Saya tahu pasal arwah bapa saya adalah bekas Setiausaha UMNO pada ketika itu. Jadi, bagi saya, kadang-kadang ada perkara yang dinyatakan oleh Dr Mahathir ini semata-mata bersikap popular, maknanya dia juga adalah bapa kepada fake news (berita palsu), dia yang buat fake news.

"Bila dia kata ROS bersikap biased, bagi saya dia lupa apa yang dia buat 30 tahun dahulu ketika UMNO dinyah daftarkan, ROS sebenarnya menjalankan kerja secara adil dengan mengambil kira kepentingan ahli PPBM," katanya.

Sebelum ini Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, dilaporkan berkata, notis pembubaran akan dikeluarkan jika PPBM gagal menyerahkan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta penyata kewangan parti dalam tempoh 30 hari berkuat kuasa 28 Februari lalu.

Notis itu dikeluarkan berikutan aduan ahli PPBM kepada ROS, yang memerlukan maklumat itu untuk melengkapkan siasatan.



.

AIR MATA ZIANA TERTUMPAH JUA




Penyanyi, Ziana Zain, tidak mampu menahan air mata ketika mendendangkan lagu Puncak Kasih di sebuah hotel, di sini malam tadi.

Suasana pada majlis berkenaan bertukar sebak apabila ibu kepada empat cahaya mata itu dikatakan tidak mampu meneruskan persembahan walaupun muzik latar sedang berkumandang.

Menerusi video yang dikongsi netizen, beliau dilihat hanya sempat menyampaikan baris terawal lagu yang diterbitkan pada 1997 itu sebelum terdiam dan kelihatan cuba menahan gelodak rasa.

Beberapa kali juga Ziana, yang hanya berdiri sambil memegang mikrofon, cuba mencari rentak, namun tetap tewas hingga sukar untuk meneruskan nyanyian.

Dalam keadaan itu, tetamu yang memenuhi dewan utama berkenaan enggan membenarkan beliau larut dalam emosi apabila sama-sama membantunya menyanyikan lagu berkenaan.

Dari ruang dewan juga sesekali kedengaran sorakan dan nyanyian penonton, sekali gus menjadi pembakar semangat supaya penyanyi kesayangan ramai itu terus bertahan.

Sebelum beraksi di pentas berkenaan, Ziana yang anggun mengenakan persalinan serba hitam sempat berkongsi perasaannya kepada khalayak.

"I'm strong (saya kuat). Sebagai selebriti pelbagai perkara boleh berlaku. Tapi kena 'move on' (teruskan hidup) dan teruskan kerjaya," katanya.

Sejak beberapa hari lalu, isu suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, yang berdepan dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap anak mereka menjadi tajuk utama berita.

Bekas ketua pramugara, yang mendirikan rumah tangga dengan Ziana hampir 20 tahun lalu, itu mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, pada 6 Mac lalu.

Dua hari kemudian, Armin sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pindaan mencederakan anaknya, 24 Februari lalu.

Laporan polis dibuat sendiri oleh Ziana pada 27 Februari lalu sebelum Armin ditahan tiga hari kemudian.

Sementara itu, adik yang juga pengurus penyanyi terbabit, Alin, ketika dihubungi BH Online memaklumkan, Ziana enggan memberikan sebarang komen berkaitan kegagalannya menahan perasaan ketika mengadakan persembahan, malam tadi

Sunday, March 11, 2018

MANIFESTO PAKATAN RETORIK JANJI KOSONG

Pas menyifatkan manifesto Pakatan Harapan diketuai DAP bersifat retorik dan ­ulangan, malah sebahagian janji yang ditawarkan sebenarnya sudah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).



Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, janji untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu juga satu perkara yang tidak realistik dan sukar dicapai.


Beliau berkata, semua pihak perlu menyedari hakikat bahawa GST adalah salah satu perkara penting yang memberi pendapatan kepada kerajaan, namun kaedah perlu dicari supaya isu beban kepada golongan berpendapatan rendah dapat diselesaikan.

“Sebahagian perkara dalam manifesto sudah dilaksanakan kerajaan, manakala sebahagian lagi sukar dicapai, ada antaranya merupakan tawaran semasa manifesto Pakatan Rakyat dahulu yang hanya diubah ayat.

“Kalau kita lihat dari sudut percukaian yang katanya hendak hapuskan terus cukai, dalam sesebuah negara tidak boleh kita hapuskan cukai, pada asasnya kita dalam dunia ini ada tiga perkara yang kita tidak boleh elak iaitu kematian, perubahan dan cukai.

“Walaupun ada cukai tetapi ia mestilah tidak membebankan rakyat, mekanisme perlu dicari contohnya mengenakan cukai kepada golongan korporat dan yang aktif di bursa saham tetapi untuk rakyat miskin perlu ada satu skim sendiri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Mesyua­rat Agung Pas Kali Ke-61 Pas Kawasan Tumpat yang disempurnakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujuh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, Pas akan melancarkan manifestonya pada 18 Mac ini di Cyberjaya yang dinamakan sebagai Manifesto Gagasan Sejahtera.

Jelasnya, manifesto itu nanti akan mengemukakan cadangan pelaksanaan cukai yang tidak akan membebankan rakyat.

“Manifesto itu juga akan lebih banyak menekankan kepada cerita-cerita kejayaan Pas contoh­nya menerusi pelaksanaan dasar-dasar di Kelantan.

“Beberapa dasar utama di ne­geri ini telah diadaptasi oleh Kerajaan Persekutuan sendiri dan kita akan tawarkan penambahbaikan untuk menarik pengundi pada PRU-14,” katanya.