GAMBARAN si comel pipi merah yang diterjemahkan dalam lirik Comel Pipi Merah bukan lagi hanya dalam lagu yang dirakamkan oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menjelang hari kelahirannya.
Sebaliknya, si comel pipi merah itu sudahpun lahir ke dunia dan kini berada di dalam pelukan bondanya yang juga buah hati kesayangan seluruh rakyat Malaysia.
Wajah bayi yang dilahirkan dengan berat 3.55 kilogram dan diberi nama sementara sebagai Fatimah Az-Zahra persis ibunya.
Bahkan senyuman Fatimah yang dirakamkan oleh pengurus yang juga kakak ipar beliau, Rozi Abd. Razak menerusi telefon bimbitnya itu saling tak tumpah seperti Siti Nurhaliza.
Fatimah dilahirkan oleh Siti Nurhaliza menerusi pembedahan pada awal pagi 1 Rejab di sebuah hospital swasta terkenal di ibu negara.
Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sengaja memilih hari Isnin untuk kelahiran anak pertama mereka kerana selain bersamaan dengan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW, tarikh Islam 1 Rejab yang jatuh semalam juga antara sebabnya.
Seperti orang lain, pasangan popular ini mahu menyambut kedatangan permata hati mereka dalam suasana penuh keberkatan dan kerana itu juga Fatimah Az-Zahra iaitu nama anakanda Nabi Muhammad SAW menjadi nama sementara yang dipilih oleh Khalid dan Siti Nurhaliza.
Kelahiran bayi yang bakal masyhur seperti ibunya itu sebetulnya mendapat perhatian meluas daripada media tempatan dan peminat-peminat setia penyanyi lagu Cindai dan Jerat Percintaan itu.
Sehingga tengah hari semalam, laman sosial Siti Nurhaliza menerima puluhan ribu ucapan tahniah sementara mereka yang meletakkan tanda suka pada akaun Instagram penyanyi itu sudah mencecah angka lebih setengah juta orang.
Sementara di wad hospital berkenaan pula, kaum keluarga dan rakan-rakan pasangan itu tidak putus-putus berkunjung untuk menyampaikan sendiri ucapan tahniah buat Siti Nurhaliza dan Khalid.
Bagaimanapun, buat masa sekarang, pasangan suami isteri itu belum bersedia untuk berkongsi wajah serta nama sebenar Fatimah kepada seluruh rakyat Malaysia, namun mereka berjanji akan berbuat demikian tidak lama lagi.
Berkongsi berita gembira itu, Khalid dalam satu pertemuan dengan Mega HITS memberitahu, tiada kata-kata yang dapat menterjemahkan rasa syukur beliau dan isterinya menyambut kedatangan permata hati yang dinanti mereka sejak 11 tahun lalu.
“Pertamanya syukur kepada Allah kerana kurniaan anak ini hadir pada hari ini. Terima kasih juga pada semua kaum keluarga serta sahabat-sahabat dan peminat-peminat Siti yang memberikan sambutan luar biasa pada kehamilan isteri saya. Saya secara peribadi sangat tersentuh hati,” katanya menggambarkan kegembiraan yang sedang dirasakan mereka seluruh keluarga.
Dalam pertemuan di wad hospital berkenaan sejam selepas Siti Nurhaliza, 39, selamat bersalin, Khalid begitu teruja menceritakan detik-detik manis yang berlaku dalam hidupnya ketika usianya 59 tahun.
Masakan tidak, kali terakhir beliau menimang cahaya mata ialah sekitar 20 tahun lalu iaitu Muhammad Azief menerusi perkahwinan pertamanya. Selain Azief, Khalid juga mempunyai tiga orang lagi anak lelaki iaitu Muhd Annas Zawawi, Muhammad Adib dan Muhammad Asyraf.
Kali ini, selang dua dekad, Khalid menerima seorang lagi cahaya mata yang disifatkan beliau sebagai melengkapkan keinginannya yang tertunggak sekian lama.
Menurut beliau, sebaik sahaja mengetahui jantina bayi yang dikandung isterinya perempuan, berita itu mengingatkan beliau pada persiapan yang pernah dilakukannya 18 tahun lalu ketika menyiapkan kediaman keluarga di Bukit Antarabangsa.
“Kali terakhir saya dapat anak 20 tahun lalu iaitu Azief. Selepas kelahiran Azief, saya juga mengharapkan akan dapat seorang lagi bayi perempuan pula. Bila rumah keluarga siap 18 tahun lalu, saya sudah siapkan sebuah bilik khusus untuk anak perempuan dan hari ini saat-saat yang saya nantikan sudah tiba. Satu penantian yang sangat lama, namun amat-amat saya syukuri.
“Sejujurnya, saya sebak dan sangat terharu dengan kelahiran anak perempuan ini,” kata Khalid yang turut menemani isterinya dalam bilik pembedahan.
Sebagai suami, Khalid amat berbangga dengan isterinya yang begitu sabar dan tabah melalui kesakitan khususnya selepas doktor memberikan suntikan bagi mempermudah kelahiran.
Kata Khalid, Siti Nurhaliza memiliki kekuatan luar biasa melalui proses pembedahan, walaupun isterinya itu turut mengalami pendarahan selepas selesai pembedahan.
“Saya dapat melihat bagaimana Siti memiliki kekuatan luar biasa. Ada satu saat kami berasa dukacita kerana Siti mengalami pendarahan, namun alhamdulillah kepantasan dan kecekapan doktor mengawal keadaan menyebabkan semuanya kembali normal dan Siti serta bayi kami berada dalam keadaan sihat,” katanya berkongsi saat-saat mendebarkan itu.
No comments:
Post a Comment