Wednesday, March 21, 2018

CARI DATIN ROZITA DALAM MASA SEMINGGU - MAHKAMAH TINGGI



SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk mengesan Datin Rozita Mohamad Ali, 41 yang didakwa menyebabkan kecederaan parah pembantu rumah warga Indonesia, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Seri Tun Abd Majid Datuk Tun Hamzah mengeluarkan perintah itu berikutan Rozita gagal hadir ke mahkamah hari ini untuk mendengar permohonan semakan semula hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad yang mengendalikan prosiding itu berkata, pihaknya sudah cuba mengesan Rozita dan penjaminnya di beberapa lokasi sejak semalam untuk menyerahkan notis untuk hadir ke mahkamah namun gagal.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 29 Mac ini.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun terhadap Rozita atas pertuduhan itu, selain membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar memerintahkan sedemikian selepas tertuduh menukar pengakuan bersalah apabila pertuduhan pindaan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam prosiding perbicaraan kes terhadapnya.

Suri rumah yang memelihara 17 kucing itu sebelum ini berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi pertuduhan asal, iaitu cubaan membunuh namun pihak pendakwaan menawarkannya pertuduhan pindaan (menyebabkan cedera parah).

Namun, pelbagai pihak menzahirkan rasa tidak puas hati, termasuk Pejabat Peguam Negara yang turut memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Selain itu, lebih 50,000 individu menandatangani petisyen menerusi laman sesawang Change.org setakat ini yang menuntut hukuman tegas dikenakan terhadap Rozita dan mahu keadilan ditegakkan tanpa mengira pangkat dan harta.

Pada 21 Disember dua tahun lalu, Suyanti ditemui terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang oleh pengawal keselamatan.

No comments:

Post a Comment