Friday, February 16, 2018

IMPIAN ALLAHYARHAM MAHU BERJUMPA SAYA - PM



Perdana Menteri yang me­nyam­paikan ucapan takziah menerusi akaun Twitter beliau semalam turut mengimbau kembali pertemuannya bersama Addi Asyraaf dan mendoakan rohnya dicucuri rahmat.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Saya masih ingat pada April 2016, saya berpeluang bertemu dengan Addi Asyraaf, cukup gembira dia hari itu.

“Ibunya kata memang impian Allahyarham mahu berjumpa dengan saya. Takziah kepada keluarga, saya doakan roh Addi Asyraaf dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” katanya.

Pada 24 April 2016, Najib bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor melawat Addi Asyraaf, 8, di kediamannya di Kampung Bintawa Tengah, Kuching, Sarawak selepas permintaan kanak-kanak itu untuk berjumpa dengan Perdana Menteri menjadi tular di sosial media.

Addi Asyraaf dikatakan me­nyim­pan hasrat untuk bertemu dengan pemimpin nombor satu negara sejak berusia empat tahun lagi.

Dalam pertemuan itu, Addi Asyraf tidak melepaskan peluang untuk mencium pipi Najib yang selama ini hanya dikenali me­lalui gambar dan te­levisyen.

Sementara itu di KUCHING, ibu kanak-kanak tersebut, Zurina Jamil, 39, menerima dengan reda pemergian anaknya.

“Reda pemergian adik, daripada lihat tahan sakit begini, mak sayang adik tapi Allah lagi menya­yangi mu,” luahnya menerima akaun Facebook miliknya.

Sementara itu ketika dihubu­ngi Zurina berkata, anaknya yang lebih mesra dengan panggilan A’am itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.15 malam tadi, sebaik sahaja suaminya selesai membacakan surah al-Fatihah sebanyak tiga kali.

Dalam pada itu jelas Zurina, anaknya itu memang menyayangi Perdana Menteri yang selalu dilihat menerusi Facebook dan televisyen.

“Dia pandai guna Facebook saya, sejak A’am jumpa dengan Perdana Menteri, macam pengubat, kerana dia tidak jatuh sakit,” katanya cuba menahan sebak mengenangkan anak kesaya­ngan­nya itu.

Menurut Zurina, anaknya itu pada mulanya demam sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan susulan kelmarin.

“Dia terus di bawa ke zon ku­ning Hospital Umum Sarawak untuk diperiksa dan kemudian dimasukkan ke wad.

“Kira-kira pukul 10 malam, mulutnya meleleh darah dan kemudian terus tersembur lalu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Pada pukul 5.30 pagi semalam pula, doktor membe­ritahu buah pinggang sudah tidak berfungsi dan mungkin tak dapat diselamatkan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment