Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan empat yang lain, hari ini berjaya membatalkan saman pemula yang difailkan oleh pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf), P. Waytha Moorthy bersama-sama 18 individu lain di Mahkamah Tinggi di sini.
Saman pemula itu antaranya menuntut perisytiharan bahawa pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik, sebagai suatu ancaman terhadap keselamatan negara dan dilarang daripada memasuki Malaysia.
Peguam Adnan Seman yang mewakili Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) selaku pihak pencelah dalam tindakan tersebut memberitahu pemberita, Hakim Datin Azizah Nawawi memutuskan demikian selepas mendapati penceramah terbabit tidak dijadikan sebagai salah satu pihak dalam saman tersebut dan saman pemula itu, remeh serta menyusahkan.
“Salah satu alasan dalam saman pemula ialah untuk mengisytiharkan Dr. Zakir sebagai seseorang yang mengancam keselamatan, harmoni dan keamanan negara ini. Dr. Zakir juga didakwa sebagai individu berbahaya yang boleh mencetuskan keganasan di negara ini.
“Dr. Zakir bagaimanapun tidak dinamakan sebagai pihak dalam tindakan ini. Perlu diingatkan, dakwaan yang dibuat amat serius dan mahkamah berpendapat Dr. Zakir sepatutnya dijadikan sebagai pihak dalam saman pemula ini bagi menjawab kesemua dakwaan itu. Oleh itu, hakim berpendapat saman pemula itu adalah remeh dan menyusahkan,” kata Adnan.
Dalam saman difailkan pada 1 Mac tahun lalu, Waytha Moorthy bersama 18 yang lain terdiri daripada ahli politik, peguam dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selaku pihak plaintif menamakan Ahmad Zahid selaku Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan sebagai pihak defendan.
Dalam keputusan yang dibuat di kamar hakim itu, mahkamah memerintahkan kesemua defendan membayar kos sebanyak RM5,000.
Dalam permohonan tersebut, mereka menuntut perintah perisytiharan bahawa penceramah terkenal itu merupakan ancaman kepada ketenteraman rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini dan perlu ditangkap serta-merta.
Mereka turut mendakwa Dr. Zakir telah menggalakkan keganasan, dihalang memasuki beberapa negara kerana disyaki bekerjasama dengan beberapa kumpulan pengganas selain memberi dorongan kepada warga asing yang berada di negara ini untuk mengganggu ketenteraman awam.
Sementara itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang hadir mewakili pertubuhan itu menyatakan kesyukuran dengan keputusan mahkamah hari ini.
“Kita bersyukur mendengar keputusan hari ini dan sekali gus membuktikan bahawa Dr. Zakir merupakan seorang penceramah yang bersih yang selama ini digembar-gemburkan oleh pihak tertentu dengan gambaran yang buruk. Seolah-olah ceramah Dr. Zakir memberikan rangsangan kepada golongan pengganas dan ini tidak benar sama sekali,” katanya.
Beliau juga berharap dengan keputusan tersebut, penceramah agama itu dapat bergerak dengan bebas tanpa diganggu oleh mana-mana pihak.
No comments:
Post a Comment