Monday, December 4, 2017

PPBM SEMAKIN RUNTUH - EXCO SRIKANDI PULA UMUM KELUAR



Seakan tidak berpenghujung, pergolakan yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berlarutan apabila salah seorang daripada Exco Srikandinya, Zuraini Kamal hari ini mengumumkan peletakan jawatan sekali gus keluar daripada parti.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Kuala Kedah berkata, tindakan itu dibuat ekoran terlalu banyak isu dan polemik yang gagal diuruskan dengan baik selain tidak ditangani secara serius oleh pucuk pimpinan.


Selain Zuraini, tindakannya itu turut disusuli oleh empat lagi individu iaitu dua Ahli Jawatankuasa (AJK) Srikandi PPBM negeri, Halimaton Saadiah Shah Mat (Ketua Srikandi PPBM Pendang) dan Rukiza Abu Bakar (Ketua Srikandi PPBM Pokok Sena) serta dua AJK Srikandi Bahagian Kuala Kedah, Sopi Aziz dan Fatimah Ahmad.

“Antara isu yang gagal ditangani adalah budaya fitnah dan tidak boleh ditegur. Terus terang saya katakan, ada ramai individu yang diketepikan atau ditukar jawatan­nya kerana kononnya ada salah laku namun malangnya orang berkenaan tidak diberi peluang untuk membela diri.

“Kalau cuba memberi pandang­an, nanti akan adalah orang tertentu yang dipecat di peringkat bahagian dengan berselindung di sebalik perkataan ‘rombakan’. Sehinggakan pada satu ketika, terdapat dua individu berada di kedudukan sama dan itu sudah tentu membawa perpecahan di peringkat bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, alasan yang sering diberikan mengenai perpecahan dalaman PPBM kononnya parti itu masih baharu boleh diterima kerana para pemimpinnya terdiri daripada individu-individu berpengalaman.

Mengulas lanjut katanya, perkara itu pernah beberapa kali disuara­kan kepada kepemimpinan parti termasuk di peringkat tertinggi namun tidak langsung dipedulikan.

“Keputusan ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Selepas ini sudah tentu ada yang akan menggelarkan kami sebagai pengkhianat dan pemakan dedak tetapi kami berpegang kepada prinsip berani kerana benar.

“Bukan semua benda boleh dibeli. Untuk pengetahuan, ramai dalam kalangan rakan seperjuang­an yang telah meletak jawatan dan meninggalkan parti, namun mereka tidak mahu untuk mendedahkannya secara terbuka atas sebab-sebab tertentu termasuk bimbang dilabelkan dengan gelaran bukan-bukan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan harapan supaya PPBM tidak hanya beretorik dalam membawa perubahan seperti yang sering dicanangkan selama ini.

“Bagi kami, tiada perubahan yang dibawa oleh PPBM sebaliknya mereka lebih teruk.

“Anda sebagus mana sekali pun, anda tidak akan ke mana-mana kecuali jika anda seorang yang terkenal. Tanpa ‘kipas’ dan ‘kabel’, anda akan disekat,” katanya.



No comments:

Post a Comment