Tuesday, August 1, 2017

LAPURAN AUDIT - TEKUN RUGI !

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional mengalami kerugian terkumpul pada akhir 2015 berjumlah RM209.28 juta disebabkan antara lain faktor tadbir urus korporat yang kurang memuaskan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, Audit juga mendapati tiada kajian menyeluruh dijalankan untuk menilai keberkesanan penggunaan dana oleh usahawan.

 



Laporan itu turut menyatakan antara kerugian melibatkan kegagalan pelaksanaan Portal Keusahawanan TEKUN, Kad Komuniti UsahawanTEKUN dan Cyber Mall yang kesemuanya berjumlah RM872,035.

"Bagi Program Mentor Mentee pula, jawatankuasa program bersama tidak diwujudkan dan laporan bulanan program tidak dikemukakan oleh tiga syarikat mentor tersebut," katanya.

Dari 1998 hingga Jun 2016, TEKUN menerima pembiayaan sebanyak RM1.86 bilion daripada Kementerian Kewangan dan geran RM670 juta daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang diberikan bagi tujuan Pakej Rangsangan Ekonomi, bantuan kepada mangsa banjir dan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India.


Dalam pada itu, pengauditan yang dijalankan pada Mei hingga Oktober 2016 dan Februari 2017 mendapati secara keseluruhannya TEKUN telah meningkatkan pembiayaan kepada usahawan daripada RM2.69 bilion kepada RM4.29 bilion melibatkan 473,982 usahawan dalam tempoh 18 tahun.


Sementara itu, bagi meningkatkan prestasi pengurusan syarikat, Jabatan Audit Negara mengesyorkan TEKUN mengambil beberapa tindakan termasuk melaksanakan kajian menyeluruh untuk menilai keberkesanan pembiayaan kepada usahawan dan sebab kegagalan perniagaan.


Selain itu, TEKUN perlu memastikan amalan tadbir urus syarikat dari masa ke semasa terutamanya dari segi kawalan dalaman bayaran dan penerimaan termasuk bayaran kepada individu yang tidak layak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment